Media rakan dakwah negara, YADIM hargai peranan strategik bentuk naratif positif masyarakat

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Bersama Media, Penyampaian Hadiah Layar Dakwah YADIM & TikTok Dakwah Challenge oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YB Senator Puan Marhamah Rosli,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Ketibaan YBhg. Datuk Dr. Hasan Bahrom,Yang Dipertua YADIM di : The Pearl Kuala Lumpur Hotel, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. 23hb Disember 2025 (Selasa)

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini merasmikan Majlis Bersama Media, Penyampaian Hadiah Layar Dakwah YADIM dan TikTok Dakwah Challenge anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta YBhg. Datuk Dr. Hasan Bahrom, Yang Dipertua YADIM, selain rakan-rakan media, penggiat industri kreatif dan para peserta program dakwah digital YADIM.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan penganjuran majlis yang menghimpunkan YADIM, rakan media dan para pengkarya kreatif dalam satu ekosistem dakwah yang relevan dengan keperluan semasa. “Dalam dunia hari ini, naratif membentuk persepsi, persepsi membentuk tindakan dan tindakan membentuk masyarakat. Justeru, peranan media amat strategik dalam menyampaikan mesej yang seimbang, beradab dan membina,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada media arus perdana dan media digital yang selama ini menjadi rakan strategik YADIM dalam menyebarluaskan agenda dakwah negara. Menurut beliau, setiap laporan yang adil dan liputan yang seimbang merupakan sebahagian daripada kerja dakwah yang memberi impak besar kepada masyarakat. YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menegaskan bahawa media memainkan peranan penting dalam menyampaikan kebenaran dengan adab, membetulkan salah faham berkaitan agama serta membawa naratif harmoni dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Majlis ini turut meraikan Layar Dakwah YADIM, sebuah inisiatif strategik hasil kerjasama YADIM bersama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang bertujuan memperkasa dakwah melalui medium filem pendek dan kandungan visual kreatif.

“Layar Dakwah YADIM bukan sekadar projek penerbitan, tetapi satu gerakan naratif dan budaya yang memartabatkan sinema dakwah sebagai wahana mendidik dan menyentuh jiwa,” ujar beliau.

Selain itu, penganjuran TikTok Dakwah Challenge turut diiktiraf sebagai pendekatan kreatif dan segar dalam mendekati generasi muda, sejajar dengan perkembangan media sosial yang kini menjadi platform utama penyebaran maklumat dan nilai.

Menurut beliau, anak muda bukan sekadar penerima dakwah, malah merupakan pencipta naratif dan aset penting dalam membina masa depan masyarakat. “Hari ini, dakwah bukan hanya di mimbar dan podium, tetapi juga di skrin telefon dan kandungan berdurasi singkat yang mampu menyentuh jutaan jiwa,” katanya lagi.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berharap agar program seperti Layar Dakwah YADIM dan TikTok Dakwah Challenge dapat dijadikan platform tahunan, diperluaskan skopnya serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai penggiat seni dan pendakwah muda. Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan untuk terus menyokong usaha YADIM dalam memperkukuh kerjasama dengan rakan media demi menyampaikan mesej dakwah yang berautoriti, beradab dan bermanfaat kepada masyarakat.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Layar Dakwah YADIM dan TikTok Dakwah Challenge sebelum YB Senator Dr. Zulkifli Hasan secara rasminya merasmikan Majlis Bersama Media YADIM, Penyampaian Hadiah Layar Dakwah YADIM dan TikTok Dakwah Challenge.
