Langkah Malam Krismas Pas

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

Pada malam Hari Natal 2025, negara dikejutkan dengan langkah Merry Christmas Presiden Pas yang menggugurkan keahlian tiga ADUN partinya di Perlis.

Menurut kenyataan media yang dibuat itu menyatakan;

KEBERHENTIAN AHLI BADAN PERUNDANGAN PAS DI PERLIS

Adalah dimaklumkan bahawa, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada hari ini, Rabu 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025), bahawa ahli-ahli Badan Perundangan PAS yang berikut adalah TERHENTI SERTA-MERTA KEAHLIANNYA SEBAGAI AHLI PAS:

1) YB TUAN HAJI SAAD BIN SEMAN, ADUN CHUPING;
2) YB TUAN FAKHRUL ANWAR BIN ISMAIL, ADUN BINTONG; dan
3) YB TUAN MOHD RIDZUAN BIN HASHIM, ADUN GUAR SANJI.

Pas akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta.

Apakah kesan daripada kenyataan media ini kepada DUN Perlis?

DUN Perlis telah melalui sidang pada 13 Oktober 2022 telah membuat pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis dengan memasukkan peruntukan 50A.

Peruntukan yang dirujuk oleh Presiden PAS itu adalah seperti berikut,
“Pertukaran parti politik anggota, dsb.

50A. (1) Tertakluk kepada peruntukan perkara ini, seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) jika—

(a) setelah dipilih ke Dewan Negeri sebagai anggota suatu parti politik—

(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

Presiden Pas menyatakan ketiga-tiga ADUN itu telah terhenti menjadi ahli Pas berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas.

Fasal 76 adalah berkaitan dengan Tatatertib Pas. Walaupun tidak dinyatakan sub-fasal mana yang disandarkan namun dipercayai sub-fasal yang digunakan adalah Fasal 76(9) yang menyatakan,

(9) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana Ahli PAS yang dianggap melanggar Ceraian (1) Fasal ini.

Fasal 15A(1)(b) pula menyatakan,

FASAL 15A. Keberhentian Ahli Badan Perundangan

(1) Setelah seorang ahli dipilih sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Dewan Negeri, keahliannya terhenti serta-merta apabila ahli tersebut melakukan mana-mana satu yang berikut:

b) Menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti; atau

Kesan Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis

Per. 50A ini telah dimodelkan berdasarkan pindaan kepada Per. 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai tindakan lompat parti.

Semasa perbahasan di Dewan Rakyat, YB Gobind Singh Deo telah bertanyakan kesan peruntukan tersebut kepada Menteri Undang-Undang ketika itu mengenai isu perbezaan perkataan di dalam Per. 49A(a) – (i) dia “melepaskan keanggotaan parti politik” – (resigns) dan (ii) dia “tidak lagi menjadi anggota parti politik itu” – (ceases)

“Tuan Gobind Singh Deo [Puchong]: Dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri isu berkenaan dengan keadaan-keadaan di mana seseorang itu digugurkan keahlian beliau dalam parti politik menjadi penting buat tujuan pindaan-pindaan yang baharu ini.

Di situ, soalan-soalan yang dikemukakan tadi, ada yang risau berkenaan dengan definisi.

Saya rujuk Yang Berhormat Menteri kepada perkara yang baharu 49A dan di situ Tuan Yang di-Pertua, kalau dibenarkan saya hendak membuat rujukan kepada dua perkara.

Kita melihat perbezaan antara perkataan yang digunakan dalam pindaan ini. Dua keadaannya iaitu 49A(1)(a) yang menyatakan seperti berikut; “…setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota satu-satu parti politik satu − (i) dia melepaskan keanggotaan parti politik” dan kemudian perkataan yang berbeza, “(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau…”. Itu menunjukkan keadaan yang berbeza.

Pertama, bila membuat keputusan sendiri untuk melepaskan keahlian dan di situ saya rasa ada dimasukkan ‘(ii)’ di mana berlaku satu keadaan di mana beliau tidak menjadi anggota parti politik itu mungkin kerana melanggar syarat Perlembagaan parti atau sebab-sebab yang lain tetapi ia general atau am.

Itu boleh juga merangkumi keadaan-keadaan yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Sekiranya, perlembagaan parti tidak membenarkan sesuatu perkara dan di situ menyatakan sekira anggota itu melakukan perkara tersebut, keahlian beliau akan dilucutkan atau digugurkan. Maka, bukankah di situ ‘(ii)’ terpakai Yang Berhormat Menteri? Saya minta penjelasan.

Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar: Bersetuju Yang Berhormat. Itu sebenarnya tujuan ‘(ii)’ itu untuk mengatasi masalah situasi-situasi yang begini, terima kasih.”

Niat Presiden Pas

Adalah jelas daripada kenyataan media Presiden Pas ini adalah bertujuan untuk membuat pilihan raya kecil bagi tiga DUN yang tersebut itu.

Seperti yang dijelaskan di atas, Pas telah menyatakan bahawa ADUN tersebut telah terhenti daripada menjadi ahli Pas.

Namun, ada satu lagi peruntukan di dalam Per. 50A itu iaitu jika ADUN tersebut dipecat, tidak berlaku sebarang kekosongan kerusi.

Ini dapat dilihat dalam kes Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang telah dipecat daripada PPBM tetapi tiada sebarang makluman dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk diisytiharkan kekosongan kerusi itu.

Dalam kes tiga ADUN ini Presiden Pas secara jelas menyatakan akan membuat pemakluman untuk kekosongan kerusi itu.

Memenangi semula

Sebenarnya ada lagi beberapa aspek yang boleh diulas mengenai hal ini seperti fungsi Speaker, fungsi Sultan dan isu perbezaan mengenai istilah ‘ceases’ dan ketepatan penggunaan perkataan ‘terhenti’ atau ‘pecat’, namun tulisan ini sudah agak panjang dan mungkin akan membebankan pembaca.

Apa pun kemungkinan akan berlaku pilihan raya kecil di tiga DUN tersebut di negeri Perlis jika Speaker DUN memberitahu SPR mengenai kekosongan itu.

Isunya adalah jika berlaku kekosongan dan pilihan raya kecil dilangsungkan, bolehkah Pas memenangi semula ketiga-tiga kerusi tersebut.

Apakah Pas sudah benar-benar mengambil pengajaran daripada PRK Nenggiri tempoh hari?

Mungkinkah episod ‘Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran’ akan berulang kembali?

BACA JUGA Shahidan disebutkan sebagai salah seorang calon MB Perlis