Mohd Shukri akhirnya letak jawatan MB Perlis
Kemuncak pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) menyaksikan Mohd Shukri Ramli akhirnya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 secara sukarela.
Namun, bekas Pengerusi PN Perlis yang juga mantan Pesuruhjaya Pas negeri berkenaan memberitahu keputusannya itu dibuat atas faktor kesihatan.
Bekas guru yang berkhidmat hampir 30 tahun di beberapa sekolah rendah di Sarawak dan kemudian di Perlis itu memberitahu hal tersebut dalam sidang media, sebentar tadi.
Shukri, 64, mengumumkan peletakan jawatannya selepas menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Pertamanya, nak maklumkan bahawa saya diperkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan saya, seperti mana yang kita tahu tak berapa mengizinkan.
“Saya telah menyembah surat peletakan jawatan. Jadi sehubungan itu, saya nak merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis telah memberi kerjasama yang cukup erat kepada saya dan sahabat dalam pentadbiran,” katanya.
Walau bagaimanapun, Shukri berkata, beliau hanya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, jawatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya masih lagi ADUN Sanglang dan kembali meneruskan tugas saya kepada rakyat di kawasan DUN saya,” katanya.
Pada 22 November 2022, Shukri secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 sekaligus ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.
Dalam PRU-15, PN memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Pas menguasai 9 kerusi manakala lima milik Bersatu.
Pagi tadi, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, Kangar memberitahu kekosongan luar jangka membabitkan tiga DUN iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Rus’sele berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam Pas bermula semalam.
BACA JUGA Shahidan disebutkan sebagai salah seorang calon MB Perlis