Nasib Najib kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB diketahui esok

Nasib Datuk Seri Najib Razak berhubung empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bakal diketahui esok.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang akan bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya akan membuat penentuan selepas tujuh tahun berlangsung kes kedua berprofil tinggi yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menetapkan tarikh keputusan berkenaan pada prosiding hujahan di akhir pembelaan yang berlangsung di Istana Kehakiman pada 31 Oktober lalu.

Jika mahkamah mendapati pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, Najib akan dibebaskan dengan serta-merta, namun pendakwaan boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Boleh merayu

Namun, jika sebaliknya keputusan Sequerah, bekas Presiden UMNO itu akan disabitkan dan dijatuhkan hukuman dan beliau juga boleh merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes yang mendapat perhatian seluruh dunia itu selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.

Perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan suami Datin Seri Rosmah Mansor itu memakan tempoh keseluruhan selama 293 hari.

Sepanjang tempoh itu, Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.

Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019, dan berakhir pada 30 Mei 2024, membabitkan keseluruhan 235 hari dan seramai 50 saksi.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri di mana hari pertama prosiding bela diri ialah pada 2 Disember 2024 dan hari terakhir 6 Mei 2025, mengambil masa selama 58 hari dengan 26 saksi.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Anak bekas Perdana Menteri kedua, Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan tersebut di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Tuduhan tersebut berdasarkan Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Mengikut peruntukan itu, hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Isu adendum Najib: Peguam samakan dengan keputusan UMNO yang diubah selepas mesyuarat