Pas tuntut Bersatu juga bertindak kepada 5 Adunnya

Pas menuntut Bersatu selaku rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) untuk turut mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang terbabit menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga mencetus suasana tidak harmoni di Perlis.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, tindakan itu penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

Beliau berkata, tindakan tersebut berdasarkan perbandingan kepada masalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan sebelum ini.

Jelasnya, Bersatu pada masa itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan tersebut berlaku tanpa melibatkan SD.

“Berbanding dengan (DUN) Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN.

“Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, kami yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras semangat Akta Antilompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.

“Pas sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUN parti itu,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kehilangan majoriti

PN menguasai 14 daripada 15 kerusi dalam DUN Perlis, dengan Pas memiliki sembilan kerusi dan Bersatu lima, manakala PKR memegang baki satu kerusi melalui Gan Ay Ling di DUN Indera Kayangan.

Shukri kehilangan majoriti sokongan dalam DUN Perlis susulan kehilangan sokongan lapan ADUN.

Terdahulu, Pas memanggil tiga ADUN parti itu dari Perlis yang turut terbabit dalam penyerahan SD terbabit dan masing-masing memberi pengakuan bahawa sudah menandatangani dokumen itu.

Menerusi akuan tiga ADUN itu sendiri, Pas sudah mengambil tindakan tatatertib dan keahlian tiga ADUN berkenaan iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) digugurkan serta-merta mengikut Fasal 15A Perlembagaan Pas.

Apabila keahlian digugurkan, maka menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis Perkara 50A(1)(a)(ii) kerusi ADUN juga turut tergugur.

BACA JUGA Tragisnya kejatuhan MB Pas, mana taknya ‘hero’ menunggu sejak 2008