Tiga kerusi DUN Perlis kosong, Speaker mohon SPR adakan PRK

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kawasan DUN di negeri itu.

Permohonan tersebut dibuat susulan berlakunya kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, berkata kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam Pas bermula malam tadi.

“Pemakluman mengenai perkara itu diterima secara rasmi daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam.

“Setelah membuat semakan dan meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan,” katanya.

Rus’sele berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di Kangar hari ini.

Menurutnya, notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka itu diterima daripada seorang ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun selaras dengan Perkara 50A(3) undang-undang tubuh negeri.

Tempoh matang

Mengulas lanjut, Rus’sele berkata secara kebiasaan, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan sekiranya usia DUN sudah melebihi tiga tahun.

“Walaupun tempoh penggal kerajaan negeri sudah mencapai tempoh matangnya pada 18 Disember lalu, saya berpendapat bahawa satu PRK harus dijalankan bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

“Ini adalah kerana ketiadaan wakil rakyat yang baharu bagi kerusi berkenaan yang dimenangi oleh Pas itu akan menyebabkan implikasi majoriti (Pas) di peringkat DUN.

“Malah, kedudukan akan menjadi 12 kerusi sahaja yang diwakili ADUN (termasuk satu dari PH) berbanding keseluruhan 15 sebelum ini dengan sembilan kerusi adalah milik Pas dan perkembangan ini akan menyebabkan kedudukan majoriti Pas menjadi tipis kepada hanya enam kerusi sahaja berbanding Bersatu yang mempunyai lima kerusi.

“Saya berpuas hati bahawa kekosongan tiga kerusi itu menjejaskan bilangan majoriti semua Ahli Dewan Negeri Perlis dan menimbulkan keadaan ‘terjejas’ dari segi kestabilan kerajaan negeri,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa kekosongan di tiga kerusi DUN berkenaan wajar diisi semula demi kepentingan kestabilan kerajaan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Justeru, Rus’sele akan menggunakan budi bicara di bawah Proviso Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada SPR serta memohon supaya pilihan raya diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.

BACA JUGA Isu adendum Najib: Peguam samakan dengan keputusan UMNO yang diubah selepas mesyuarat