Trio ADUN Pas Perlis dipecat bukan melompat, ini sebabnya kekosongan kerusi dipersoal

0leh DR. SHAHNOR BASRI

Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mengisytiharkan kekosongan tiga kerusi DUN susulan pengguguran keahlian trio ADUN Pas menimbulkan persoalan besar dari sudut kewajaran Perlembagaan, tafsiran undang-undang dan integriti institusi legislatif negeri.

Isu ini bukan sekadar pertikaian politik dalaman Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menjadi ujian sebenar kepada pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis 2022 yang diperkenalkan atas nama mengekang budaya lompat parti.

Tiga ADUN berkenaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri atas tiket PN dan menerima watikah pencalonan daripada PN.

Namun, tindakan disiplin yang diambil terhadap mereka datang daripada Pas sebagai parti komponen, bukan daripada PN sebagai gabungan politik yang memberi mandat pilihan raya.

Perincian ini penting kerana ia menyentuh teras persoalan Perlembagaan: Siapakah sebenarnya “parti” yang dimaksudkan dalam konteks peruntukan anti-lompat parti negeri Perlis?

Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada 2022 melalui Perkara 50A memperuntukkan bahawa seseorang ADUN hilang kelayakan jika dia meninggalkan parti dari mana dia dipilih atau berhenti menjadi ahli parti tersebut.

Namun, peruntukan yang sama juga secara jelas mengandungi pengecualian penting — iaitu seseorang ADUN tidak kehilangan kerusi hanya kerana dipecat atau digugurkan keahlian oleh partinya.

Klausa pengecualian ini bukan kebetulan; ia dimasukkan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa parti politik bagi menjatuhkan wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi.

Di sinilah keputusan Speaker DUN Perlis menjadi bermasalah dan wajar dipersoalkan secara terbuka.

Tindakan disiplin

Pengguguran trio ADUN Pas bukan berlaku kerana mereka secara sukarela meletak jawatan atau menyertai parti lain, tetapi kerana tindakan disiplin parti terhadap mereka.

Jika teks perlembagaan negeri dibaca secara jujur dan konsisten, keadaan ini jatuh tepat dalam kategori pengecualian yang tidak sepatutnya membawa kepada kekosongan kerusi secara automatik.

Lebih membimbangkan, keputusan Speaker seolah-olah memperluaskan tafsiran frasa “tidak lagi menjadi ahli parti” sehingga mengatasi pengecualian yang dinyatakan secara nyata dalam peruntukan yang sama.

Pendekatan ini bukan sahaja bercanggah dengan prinsip asas pentafsiran undang-undang — bahawa pengecualian mesti diberi kesan — malah membuka ruang kepada preseden berbahaya: parti politik boleh memecat wakil rakyat yang tidak sehaluan dan seterusnya “mengosongkan” kerusi melalui tafsiran longgar anti-lompat parti.

Perlu ditegaskan, undang-undang anti-lompat parti tidak digubal untuk memperkukuh cengkaman parti ke atas wakil rakyat.

Sebaliknya, ia untuk melindungi mandat pengundi daripada dikhianati melalui lompat parti secara oportunis.

Dalam kes ini, tiada bukti bahawa trio ADUN berkenaan menyertai parti lain atau menukar sokongan politik demi kepentingan peribadi.

Yang berlaku ialah konflik dalaman parti — suatu realiti politik yang tidak seharusnya diselesaikan dengan hukuman perlembagaan terhadap kerusi rakyat.

Keputusan Speaker juga menimbulkan persoalan tentang kedudukan PN sebagai entiti politik.

Jika calon bertanding atas tiket PN, adakah kehilangan keahlian dalam satu parti komponen secara automatik memutuskan hubungan mandat dengan gabungan tersebut?

Jika jawapannya ya, maka PN perlu diiktiraf secara formal sebagai “parti” dalam konteks undang-undang negeri — sesuatu yang masih kabur dari segi perlembagaan dan perundangan.

Dalam sebuah negara yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa, Speaker DUN tidak seharusnya dilihat bertindak sebagai pelaksana kehendak parti atau gabungan tertentu.

Jawatan Speaker menuntut keneutralan, ketelitian undang-undang dan kesetiaan kepada teks perlembagaan, bukan tafsiran politik yang tergesa-gesa.

Kegagalan membezakan antara “dipecat” dan “melompat parti” akan menjadikan undang-undang anti-lompat parti senjata politik, bukan instrumen pembaharuan demokrasi.

Hakikatnya, kes ini hampir pasti akan dibawa ke mahkamah dan wajar diuji secara kehakiman.

Namun sementara itu, rakyat Perlis berhak bertanya: Adakah mandat mereka diketepikan atas tafsiran yang dipaksakan?

Jika peruntukan perlembagaan yang jelas pun boleh diketepikan atas alasan tafsiran, maka bukan sahaja kerusi DUN yang terancam, tetapi kepercayaan terhadap institusi demokrasi negeri itu sendiri.

Isu ini tidak harus dilihat sebagai kemenangan mana-mana pihak politik, sebaliknya sebagai amaran bahawa undang-undang yang digubal tanpa disiplin tafsiran akan memakan demokrasi itu sendiri.

Speaker DUN Perlis perlu menjawab persoalan ini — bukan dengan retorik politik, tetapi dengan hujah perlembagaan yang telus dan bertanggungjawab.

BACA JUGA Mohd Shukri akhirnya letak jawatan MB Perlis