‘Ambil tindakan disiplin terhadap ‘pengkhianat’ Chegubard’

Bersatu Negeri Sembilan mahu pucuk pimpinan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard susulan kenyataan-kenyataannyayang menyerang presiden Tan Sri Mahiaddin Yassin dan kepimpinan parti secara terbuka.

“Memandangkan fokus tindakannya kini bukan lagi untuk memperkukuh Bersatu dan PN, tetapi untuk mencetuskan kekacauan dalaman serta mencalar kepimpinan parti secara terbuka, Chegubard wajar dianggap sebagai seorang pengkhianat kepada perjuangan parti,” kata Bersatu Negeri Sembilan dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga juga adalah ketua bahagian Rasah.

Ia turut ditandatangani oleh ketua Bersatu Tampin, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Terbaharu Chegu Bard mendesak pengunduran Mahiaddin sebagai presiden yang dikaitkan dengan kes menantu Mahiaddin yang melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Bersatu Negeri Sembilan turut menyifatkan tindakan Chegubard mengkritik presiden dan parti sendiri sebagai perbuatan tidak beradab, tidak berdisiplin dan bercanggah dengan adab perjuangan parti, selain didakwa merosakkan kestabilan organisasi.

Menurut mereka tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan yang sihat, sebaliknya menunjukkan niat untuk memporak-perandakan parti dari dalam ketika jentera di peringkat akar umbi sedang berusaha mendekati rakyat dan mengukuhkan sokongan.

Selaras pendirian itu, mereka menggesa kepimpinan tertinggi parti mengambil tindakan disiplin tegas dan terhadap mana-mana individu, termasuk Chegubard, yang mengeluarkan kenyataan atau tindakan menjejaskan imej parti serta menggugat kesatuan dalaman.