Bukit Bintang penuh sampah dapat teguran menteri

Sejak semalam tular video beberapa lokasi tumpuan pelancong di Bukit Bintang dipenuhi sampah sarap selepas sambutan Krismas diadakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan kekesalan kerana ia menjejaskan imej ibu negara.

Situasi ini mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang memandang serius sikap tidak bertanggungjawab ini.

Menurutnya, sikap seperti itu mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong, ketika Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya ingin menegaskan bahawa kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT (pihak berkuasa tempatan), sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook KPKT malam tadi.

Kor Ming mengingatkan bermula 1 Januari ini, tindakan lebih tegas akan diambil oleh SWCorp dan PBT berhubung aspek kebersihan.

Tegasnya, mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.

BACA JUGA Speaker DUN Perlis sendiri tidak pasti, sebelahi besan Presiden Pas