Konflik di Perlis tunjuk kegagalan PN urus negeri
Kemelut politik di Perlis yang menyaksikan Menteri Besarnya meletakkan jawatan dan tiga ADUN Pas dipecat, menunjukkan kegagalan besar Perikatan Nasional (PN) sebagai pentadbir negeri.
Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi berkata, sebagai negeri dengan sumber terhad, pemimpin di negeri itu gagal menguruskan perihal politik negeri dengan baik dan menyebabkan kacau bilau yang merugikan negeri.
“Amat mendukacitakan apabila rakyat Perlis telah membuat keputusan memilih PN sebagai parti memerintah namun amanah rakyat ini gagal dijaga dengan baik.
“Jika diambil perbandingan dengan Negeri Selangor walaupun di dalam blok kerajaan adanya wakil dari PH dan UMNO-BN, pentadbiran negeri diurus dengan baik dan kestabilan politik berjaya dijaga dengan kukuh dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berbeza di Perlis, Abbas berkata walau PN mempunyai majoriti kerusi dengan satu sahaja wakil dari PH, gabungan itu gagal menstabilkan politik yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri.
“Ini adalah satu bukti kegagalan besar PN sebagai pentadbir negeri.
“Tidak mustahil apa yang berlaku di negeri Perlis ini boleh berjangkit ke tiga buah negeri di bawah Perikatan Nasional,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyeru rakyat untuk mengambil iktibar dari konflik politik di Perlis, dan membangkitkan soalan utama adakah PN masih boleh diharap untuk mentadbir negara jika negeri yang kecil pun gagal diurus.
BACA JUGA Ringgit di paras tertinggi dalam tempoh lima tahun