Malaysia sambut baik gencatan senjata Thailand-Kemboja
Malaysia menyambut baik gencatan senjata yang dipersetujui oleh Kemboja dan Thailand, yang berkuat kuasa hari ini pada jam 12:00 tengah hari waktu tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan tentera mencerminkan pengiktirafan bersama bahawa tindakan berhemah diperlukan demi menjaga kepentingan orang awam.
“Kenyataan bersama itu menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
“Langkah-langkah ini menyediakan asas ke arah kestabilan dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh integriti,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.
Anwar berkata, memandangkan Malaysia menyerahkan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada tengah malam 1 Januari 2026, Malaysia akan menyokong semua usaha untuk memastikan usaha-usaha ini dihormati serta kredibiliti ASEAN sebagai rantau keamanan dipelihara.
Thailand dan Kemboja hari ini mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata serta-merta, bermula jam 12 tengah hari waktu tempatan.
Menerusi kenyataan bersama Jawatankuasa Khas Sempadan Am (SGBC) yang diumumkan oleh pihak Kemboja, kedua-dua negara bersetuju menghentikan semua bentuk serangan, termasuk terhadap orang awam, infrastruktur awam dan sasaran ketenteraan.
BACA JUGA Mahiaddin tegaskan tiada arahan ADUN tanda tangan SD tarik sokongan MB Perlis