Motac, Tourism Malaysia tiada kaitan dengan acara lelaki berpakaian wanita
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebaranh kaitan dengan penganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang menjadi kontroversi ketika ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi.
Kementerian itu akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran acara berkenaan yang menggunakan logo korporat tourism Malaysia.
“Sehubungan itu, MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada acara tersebut atau penggunaan logo tanpa kebenaran.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama, serta idenitit korporat rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti wanita menerima anugerah dalam acara terbabit.
Ia mendapat reaksi kritikan ramai kerana penggunaan logo rasmi kementerian dan Tourism Malaysia.