Surat nukilan dari Najib kepada rakyat Malaysia selepas keputusan mahkamah

Selepas tujuh tahun perbicaraan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam telah mengeluarkan keputusan yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah atas kesemua empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Lewat malam tadi, satu sidang media diadakan oleh peguamnya Tan Sri Shafee Abdullah yang telah membacakan surat nukilan dari Najib.

Ia juga dimuat naik di Facebook Najib.

Beliau menitipkan pesanan, memohon rakyat Malaysia tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. 

Katanya, ada kala beliau merasakan seolah-olah perjuangan ini harus dipikul sendirian, namun beliau tetap bertekad untuk meneruskannya, bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip. 

Najib berkata, beliau akan terus menuntut haknya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. 

“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.

“Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan,” ujarnya.

Beliau mengingatkan, perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasibnya, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang dijunjung bersama.