Lagi Bersatu disindir, Pas bertegas pengkhianat tidak boleh dibiar
‘Perang’ dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat makin marak sejurus pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.
Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad secara menyindir berkata, parti itu sudah mengenali sifat sebenar ‘mereka’ yang dilihat merujuk kepada Bersatu.
“Saya tidak berasa sedih, sebaliknya bersyukur kerana kini kita mengetahui warna sebenar mereka.
“Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman,” katanya ringkas di Facebook dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula melenting dengan membangkitkan isu ‘kawan makan kawan’.
“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang juga dipercayai merujuk kepada Bersatu.
Kemelut PN di Perlis yang berlarutan mencetuskan pertelagahan antara Pas dan Bersatu termasuk di peringkat nasional.
Hari ini, Bersatu secara rasmi berjaya ‘merampas’ Perlis daripada Pas apabila ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Pelantikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis itu sekaligus menjadikannya Menteri Besar pertama di Perlis dari parti tersebut sejak menganggotai blok PN.
Timbalan Pengerusi PN Perlis berkenaan menggantikan ADUN Pas Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Menteri Besar pada 25 Disember lalu.
Keputusan Mohd Shukri yang juga bekas Pengerusi PN Perlis itu menyusul selepas tiga ADUN Pas diberhentikan keahlian parti serta-merta.
BACA JUGA Pas anggap ‘kawan makan kawan’ selepas Bersatu jadi MB Perlis