Pas anggap ‘kawan makan kawan’ selepas Bersatu jadi MB Perlis

Pas hari ini dilihat melenting selepas Abu Bakar Hamzah dari Bersatu dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan isu ‘kawan makan kawan’ susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menggantikan Mohd Shukri Ramli dari Pas sebagai Menteri Besar Perlis.

“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” tulisnya ringkas di Facebook.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata berpendapat status umum itu dipercayai merujuk kepada Bersatu sebagai rakan gabungan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Hari ini, Bersatu mencipta rekod berjaya ‘merampas’ Perlis daripada Pas apabila ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Abu Bakar yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri sekaligus menjadi Menteri Besar pertama di Perlis dari parti itu sejak menganggotai blok PN.

Timbalan Pengerusi PN Perlis berkenaan menggantikan ADUN Pas Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Menteri Besar pada 25 Disember lalu, keputusan yang menyusul selepas tiga ADUN Pas diberhentikan keahlian parti serta-merta.

BACA JUGA Negeri Pas, Menteri Besar Perlis dari Bersatu