Anwar Ibrahim dijangka rasmikan Hari Keluarga Rapat Reformis 2026, “Satukan Generasi Perjuangan Mendepani Cabaran Politik Masa Depan”

FOTO BERITA: Sidang Media oleh YB Senator Amir bin Md Ghazali Pengarah Program Turut hadir Mustapa Mansor. Mustapa Mansor. PENGERUSI: Otai Reformis ( PKORM), sempena Program Hari Keluarga Rapat Reformis 2026 di NZ Curry House Wangsa Maju Kuala Lumpur. 29hb Disember 2025 (Isnin)

Program Hari Keluarga Rapat Reformis Kebangsaan 2026 dijangka menjadi platform penting dalam menyatukan kekuatan reformis, memperkukuh perpaduan serta mempertegaskan komitmen bersama dalam meneruskan agenda reformasi demi masa depan negara. Dalam sidang media tersebut, YB Senator Amir Md Ghazali memaklumkan bahawa program Hari Keluarga Rapat Reformis Kebangsaan akan dianjurkan di Bukit Beruntung Golf & Country Resort, Rawang, Selangor, bermula jam 8.00 pagi hingga 6.30 petang, dengan pelbagai pengisian bermanfaat khusus untuk para reformis dari seluruh negara.

Menurut beliau, program ini bakal menghimpunkan reformis daripada segenap pelosok tanah air, melibatkan penyertaan dari Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak, sebagai wadah memperkukuh jaringan, ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan pendokong gerakan reformasi. “Matlamat utama penganjuran ini adalah untuk melahirkan natijah yang jelas, iaitu mempereratkan tautan kasih sayang serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan reformis di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan landskap politik negara sejak tiga tahun kebelakangan ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya telah melaksanakan pelbagai agenda reformasi di peringkat pentadbiran Kerajaan Madani. Sehubungan itu, reformis di peringkat Parti Keadilan Rakyat dan pendokong reformasi diseru agar terus memberikan sokongan padu bagi memastikan agenda reformasi negara kekal dilaksana dan diperkasakan. Selain itu, program ini juga dilihat sebagai medan untuk membaiki, membina dan menggerakkan semula kekuatan gerakan reformasi di seluruh negara, selaras dengan peranan reformis sebagai antara tulang belakang kepada pembinaan negara yang lebih baik, maju, cemerlang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. YB Senator Amir Md Ghazali turut menjemput semua individu dan kumpulan masyarakat yang mempunyai roh dan semangat perjuangan reformasi untuk hadir beramai-ramai, tanpa mengira latar belakang parti, demi membina muafakat besar reformis di peringkat nasional.

Program ini dijangka akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Turut hadir Puan Nurul Izzah Anwar Timbalan Presiden, YB Dato’ Seri Amiruddin Shari, Naib Presiden, YB Senator Mujahid Timbalan Presiden AMANAH, YBhg Datuk Mustaffa Kamil Ayub (GRM), Sdr. Ronie Liew, Sdr. Hj. Saari Sungip, Dr. Badrul Amin tokoh-tokoh reformis yang telah dikenali sejak era 1998, termasuk mereka yang pernah melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan dalam perjuangan reformasi negara. Kehadiran tokoh-tokoh ini diharap dapat menyuntik semangat, memperkukuh solidariti serta mempereratkan lagi saf perjuangan reformis.

Sementara itu Pengerusi Otai Reformis (PKORM), Tuan Hj Mustapa Mansor, menegaskan bahawa kesedaran rakyat terhadap perjuangan reformasi didapati semakin tenggelam akibat fitnah yang berleluasa, khususnya di media sosial. Sehubungan itu, sejak akhir tahun 2024, lebih 100 pempengaruh telah digerakkan secara bersama bagi menangkis fitnah dan memperbetulkan naratif perjuangan reformasi.

Menurut beliau, perjuangan reformasi sering disalah tafsir sebagai perjuangan liberal, sedangkan hakikatnya ia berakar daripada nilai Islam yang jelas, berpaksikan Surah Hud ayat 88, serta hasil pertemuan tokoh ulama, guru dan NGO sejak tahun 1998. Perjuangan ini meneladani usaha Nabi Shu’aib AS dalam menentang kronisme dan nepotisme. Tuan Hj Mustapa turut menegaskan bahawa reformasi bukan perjuangan bermusim, sebaliknya satu perjuangan panjang yang berterusan sehingga akhir hayat, sebagaimana sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyeru agar kefahaman sebenar perjuangan reformasi terus disebarkan melalui program-program kesedaran dengan melibatkan semua lapisan reformis, termasuk generasi muda, sebagai legasi penerus perjuangan. Negara Madani dan perpaduan negara, katanya, adalah hasil perjuangan lebih dua dekad dan bukan sekadar angan-angan.