Ke mana Bersatu nak bawa diri sekiranya talak tiga dengan Pas?

Pensyarah kanan UMT Yusri Ibrahim menyifatkan nasib Bersatu akan menjadi tidak menentu sekiranya ia berpisah daripada Pas di dalam Perikatan Nasional

Sekiranya perkara itu berlaku, Bersatu juga akan berdepan kekalahan seperti Pejuang, kata Yusri menerusi satu hantaran Facebook.

“Jika betul-betul diceraikan oleh Pas, ke mana Bersatu akan membawa diri?

“Tanpa sokongan Pas, nasib Bersatu sangat tidak menentu.

“Jika bertanding sendirian PRU16 nanti, Bersatu berisiko mengulangi episod duka Pejuang.

“Kalah semua kerusi.”

Pejuang yang dipimpin oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah memohon untuk menyertai PN. Buat masa ini ia menyokong PN berdasarkan isu tertentu.

Isu hubungan Pas – Bersatu kini dibangkitkan ekoran krisis politik di Perlis yang bermula apabila lima Adun Bersatu dan tiga Adun Pas mengemukakan akuan bersumpah hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli.

Susulan itu Shukri meletakkan jawatan dan Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah telah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-12.

BACA JUGA: Pas beri isyarat perpecahan dalam PN