Kes rasuah projek Tentera Darat: 6 akaun bank milik pegawai kanan, keluarga disita

Enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ahli keluarganya telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM yang menyaksikan kemasukan wang tunai dalam jumlah besar dan mencurigakan ke dalam akaun bank milik pegawai kanan tentera terbabit.

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes tersebut, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit, bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan.

“Enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini,” katanya, dipetik Bernama.

Pada 27 Disember lalu, SPRM telah menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta kediaman rasmi suspek dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Semalam, suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM tetapi dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital.

BACA JUGA Kawan makan kawan: Masalah kawan atau masalah Pas?