Pelantikan MB Perlis: Penyelesaian krisis jangka pendek, bab baharu ketegangan Pas – Bersatu

Pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 hanyalah penyelesaian krisis jangka pendek dan membuka ketegangan baharu dalam hubungan Pas – Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN), kata seorang penganalisa politik.

“Pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis mungkin menyelesaikan krisis jangka pendek, tetapi ia membuka bab baharu ketegangan dalam PN.

“Bersatu menang jawatan, tetapi kehilangan sebahagian modal moral; Pas kehilangan kuasa, tetapi mungkin belajar untuk menuntut semula pengaruhnya dengan cara lain.”

Penganalisa politik Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 semalam.

Abu Bakar ialah Adun Kuala Perlis dan pengerusi Bersatu Perlis.

Mengulas lebih lanjut Awang Azman berkata kestabilan politik yang dicapai sekarang hanya dari sudut angka.

Ini kerana kerajaan Perlis perlu bergantung kepada beberapa faktor.

“Stabil dari segi angka — ya. Stabil dari segi politik dan ketidakpuasan hati penyokong Pas — belum tentu.

“Kerajaan ini bergantung kepada beberapa perkara seperti:

“Kesetiaan ADUN yang sebelum ini telah menunjukkan kecenderungan berpaling tadah,

“Keupayaan MB baharu membina kepercayaan merentasi parti dan kebolehan Bersatu mengurus Pas sebagai rakan yang terluka, bukan sekadar sekutu teknikal.

“Tanpa pendekatan merangkul dan meredakan, kerajaan negeri ini berisiko menjadikan ia stabil di atas kertas, tetapi rapuh dari segi kepercayaan dan legitimasi rakyat.”

Beliau turut memberikan hujah yang boleh digunakan oleh Bersatu yang mewajarkan mereka mengambil alih pentadbiran negeri.

“Dalam situasi ini, Bersatu melihat kekosongan kuasa sebagai ruang strategik yang tidak boleh dibiarkan diisi pihak lain atau berlarutan sehingga mencetuskan pilihan raya mengejut.

“Dari sudut persepsi, langkah ini berisiko ditafsir sebagai “backstabbing”, namun dari sudut politik praktikal, Bersatu akan berhujah bahawa krisis bermula daripada kegagalan Pas mengurus sokongan dalaman.

“Bersatu hanya bertindak untuk mengelakkan kekosongan pentadbiran dan ketidakstabilan berpanjangan dan keputusan ini dibuat melalui saluran perlembagaan, bukan rampasan kuasa luar aturan.”

Walau bagaimanapun ini menyebabkan hakisan kepercayaan di antara Pas dan Bersatu meskipun kedua-dia parti menggunakan naratif keputusan bersama PN, tambahnya.

Pada masa sama Awang Azman mengakui bahawa harga politik yang perlu dibayar oleh Bersatu adalah besar.

“Bersatu kini berdepan risiko dilihat lebih mementingkan jawatan berbanding kestabilan, bersikap oportunis ketika rakan dalam krisis dan mengulangi naratif lama bahawa Bersatu ialah parti elit kuasa, bukan parti akar umbi.

“Dalam konteks Perlis — negeri kecil dengan pengundi yang sensitif terhadap akhlak politik dan kestabilan — langkah ini boleh mengundang reaksi bercampur iaitu:

“Penyokong Bersatu mungkin melihatnya sebagai kemenangan strategik.

“Penyokong PAS berpotensi berasa dikhianati.

“Pengundi atas pagar mungkin melihat PN secara keseluruhan sebagai tidak matang mengurus perbezaan dalaman.

Bersatu juga akan dilabel lapar kuasa jika prestasi pentadbiran tidak cekap, tenang dan inklusif.

Awang Azman mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama Bersatu ‘memijak’ Pas.

Sebelum ini Bersatu mengumumkan calon Perdana Menteri tanpa rundingan.

“Bagaimana Pas akan bertindak dan kesannya kepada hubungan PN?

“Episod ini adalah tamparan berganda apabila Pas kehilangan jawatan Menteri Besar, kehilangan tiga ADUN sendiri, dan berdepan hakikat bahawa dominasi moral Pas dalam PN semakin terhakis.

“Pas mungkin tidak bertindak secara terbuka atau agresif buat masa terdekat, kerana mereka tidak mahu dilihat memecahkan PN.

Awang Azman berkata kerangka PN diperlukan oleh Pas di peringkat nasional tetapi beliau menjangkakan parti tersebut akan mengambil langkah seperti berikut:

Mengukuhkan kawalan dalaman terhadap wakil rakyatnya

Menilai semula pembahagian kuasa dalam PN

Menjadi lebih berhati-hati dan kurang percaya terhadap Bersatu.

“Hubungan PAS–Bersatu selepas ini tidak lagi setara dari segi emosi dan kepercayaan, walaupun masih bekerjasama atas kepentingan pilihan raya,” katanya.

Beliau turut menjangkakan Pas mendapat pampasan dari beberapa segi:

Konsesi dalam pembahagian kerusi pilihan raya

Jaminan jawatan tertentu di peringkat pusat atau negeri lain

Pengaruh lebih besar PAS dalam penentuan dasar PN.

“Tanpa “imbangan semula kuasa” Pas akan menjadi rakan yang dingin dalam PN atau menggunakan kekuatan jentera akar umbi mereka untuk memberi tekanan dalaman secara tersirat.

BACA JUGA: Lagi Bersatu disindir, Pas bertegas pengkhianat tidak boleh dibiar