Wan Saiful: Ambil alih kepimpinan PN, Pas
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Pas mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional dan menjalankan cadangan pembaikan dalam PN.
“Langkah lebih baik ialah Pas mengambil alih kerusi Pengerusi Perikatan Nasional dan laksanakan pembaikan-pembaikan yang dicadangkan.
Beliau turut menggesa parti komponen lain dalam PN menerima kepimpinan Pas. Parti lain di dalam PN ialah Gerakan dan MIPP.
“Parti komponen lain seperti Gerakan harus menerima Pas sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka. Saya sedar ada kebimbangan di kalangan parti komponen PN bukan Melayu.
“Tapi jika disusun dengan baik, kebimbangan itu boleh diuruskan. Kita mesti ingat, Pas bukan parti budak-budak. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
Wan Saiful turut menyokong usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional.
“Setelah itu, laksanakanlah apa yang perlu untuk menghidupkan semula MN bagi membolehkan semua pihak, termasuk badan-badan bukan politik, juga bersatu dalam agenda yang sama. Itu penyatuan sebenar.
Beliau turut mengecam presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin yang gagal bertanggungjawab dalam menangani krisis politik Perlis memandangkan Mahiaddin juga pengerusi PN.
“Kenapa Mahiaddin tidak panggil mesyuarat PN untuk menentukan calon MB PN? Kenapa Bersatu hantar surat lain, Pas pula hantar surat lain? Wan Saiful menyoal kedua-dua anggota Perikatan Nasional yang menghantar nama calon masing-masing.
“Kenapa tidak ada mesyuarat PN yang khusus membincangkan situasi Perlis yang telah kita maklumi berlanjutan sudah berbulan-bulan?
“Sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin sepatutnya segera memanggil mesyuarat sebaik sahaja ada gelora yang dikesan.
“Kegagalan Muhyiddin memberi impak negatif amat besar kepada PN. Hingga ada yang mencadangkan Pas meninggalkan PN dan menghidupkan semula MN.
“Tetapi sehingga hari ini Muhyiddin belum panggil mesyuarat. Seolah-olah dia tak peduli pun apa yang berlaku. Sedang seronok di England agaknya.”
Wan Saiful juga menolak cadangan agar Pas meninggalkan PN.
Bagi saya, cadangan sesetengah pihak untuk Pas meninggalkan PN adalah tidak betul. Janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah, tetapi kemudian memilih cara yang memecahkan kesatuan sedia ada.
Krisis politik di Perlis bermula dengan tiga Adun Pas dan lima Adun Bersatu menyerahkan akuan bersumpah setelah hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli.
Tiga Adun Pas tersebut telah diberhentikan keanggotaan.
Susulan itu Shukri meletakkan jawatan. Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12.
BACA JUGA: Negeri Pas, Menteri Besar Perlis dari Bersatu