Reaksi Pas pasca pelantikan MB Perlis ibarat rumah siap pahat berbunyi

OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Kata AI, “Rumah siap pahat berbunyi” (atau “Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”) adalah peribahasa Melayu yang bermaksud mengemukakan kritikan, alasan, atau bantahan setelah sesuatu keputusan atau urusan sudah selesai, seperti mengeluh atau menyalahkan setelah kerja selesai dan tidak ada lagi gunanya untuk diubah. 

Ini merujuk kepada perbuatan mencela atau bersungut tentang sesuatu yang sudah putus atau terlaksana, jadi nasi sudah menjadi bubur. 

Nampaknya, pemimpin Pas benar-benar berang dengan pelantikan MB Perlis yang baharu. Pelbagai gosip keluar. 

Ada pula yang membuat akaun palsu di Facebook dan Tiktok untuk menyebarkan naratif kononnya MB Perlis yang lama telah menolak kehendak kerabat istana untuk meluluskan projek. 

Ada kedengaran suara-suara daripada pemimpin Pas yang mengajak untuk menimbangkan semula kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN). 

Mungkin ada manfaatnya jika kita teliti kandungan Perlembagaan PN. 

Fasal 6 Perlembagaan PN menyatakan ada 3 jenis keanggotaan dalam PN iaitu, parti Anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu. 

Parti anggota adalah terdiri daripada Bersatu, Pas, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan lain-lain parti politik yang diterima menjadi anggota PN. 

Ahli bergabung pula adalah pertubuhan, pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab atau persatuan yang diterima menjadi anggota PN.

Ahli bersekutu pula adalah warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas, bukan ahli berdaftar kepada mana-mana parti politik dan telah diterima pendaftaran keahlian. 

Fasal 25 Perlembagaan PN menyatakan yuran parti anggota adalah RM10,000, yuran ahli bergabung adalah RM1,000 dan yuran ahli bersekutu adalah RM100.

Fasal 8 Perlembagaan PN menyatakan pentadbiran PN dikawal oleh Majlis Tertinggi iaitu mengandungi Pengerusi, Timbalan-Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Bendahari Agung, Timbalan Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Pengarah Pilihan Raya dan 2 wakil dari setiap Parti Anggota sebagai ahli Majlis Tertinggi. 

Fasal 12 menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 4 kali setahun atas arahan presiden dan salah satu mesyuarat itu boleh dianggap sebagai Mesyuarat Agung Tahuhan Majlis Tertinggi. 

Selain itu, wujud juga mekanisme untuk memanggil mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi atas permintaan bertulis separuh daripada jumlah parti-parti anggota.

Untuk rekod, berikut adalah anggota Majlis Tertinggi PN

1. Pengerusi – TS Mahiaddin Md Yassin

2. Timb Pengerusi – TS Abdul Hadi Awang

3. Timb Pengerusi – Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai

4. Timb Pengerusi – DS Hamzah Zainudin

5. Timb Pengerusi – Punithan A/L Paramsiven

6. SUA – DS Mohamed Azmin Ali

7. Ketua Penerangan – Datuk Dr Mohd Radzi Jidin

8. Bendahari Agung – kosong

9. Timb SUA – DS Takiyuddin Hassan

10. Ketua Wanita – DW Hjh Mas Ermieyati Samsudin

11. Ketua Pemuda – Afnan Hamimi Taib Azamudden

12. Ketua Pengarah Pilihan Raya – DS Muhammad Sanusi Md Nor

13. AJK – DS Dr Ronald Kiandee

14. AJK – DS Tuan Ibrahim Tuan Man

15. AJK – Tuan Oh Tong Keong

16. AJK – DS Ahmad Faizal Azumu

17. AJK – Datuk Hj Idris Ahmad

18. AJK – Wong Chia Zhen

19. AJK – Subramaniam A/L Surunaryan

20. AJK – Manimaran A/L Kanappram

Fasal 21 Perlembagaan PN pula mewujudkan Badan Perhubungan Negeri yang berkuasa menyelaras aktiviti PN di peringkat negeri dan bertindak sebagai Badan Perhubungan di antara Majlis Tertinggi dengan Badan Perhubungan Kawasan serta melaksanakan apa-apa jua arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi. 

Badan Perhubungan Negeri juga dikehendaki untuk bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 kali setahun atas arahan Pengerusi Negeri. 

Fasal 7A Perlembagaan PN pula menyatakan kewujudan Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua presiden parti anggota dan mempunyai kuasa muktamad mengenai:-

i) dasar utama PN yang dirujuk oleh Majlis Tertinggi

ii) ketetapan kerusi pilihan raya

iii) disiplin Parti Anggota

iv) apa-apa perkara khas yang dirujuk untuk keputusan oleh Majlis Tertinggi. 

Mesyuarat Majlis Presiden boleh dipanggil oleh Pengerusi dengan tempoh 7 hari notis atau seberapa segera. 

Koramnya adalah kehadiran semua presiden parti anggota atau wakil yang sah. Keputusan Majlis Presiden hendaklah diputuskan secara konsensus, 

Fasal 15 Perlembagaan PN menyatakan berkaitan tatatertib iaitu Majlis Tertinggi berkuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota, anggota (bermaksud wakil yang tertentu bagi sebuah parti anggota), ahli bergabung dan ahli bersekutu dengan memberi amaran, menggantung atau memecat mana-mana parti anggota, anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan PN.

Di dalam Perlembagaan PN ini tidak menyatakan pemberhentian atau keadaan di mana parti anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu boleh terlucut daripada menjadi keahlian. 

Oleh itu, pemecatan hanya boleh dibuat dengan keputusan Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi pula perlu merujuk hal tersebut kepada Majlis Presiden. 

Kedudukan Majlis Presiden nampaknya lebih tinggi dalam struktur PN tetapi kuasa Majlis Tertinggi lebih luas. 

Ada kuasa Majlis Tertinggi perlu dirujuk kepada Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan boleh diambil.

Berdasarkan perkembangan terkini, nampaknya sangat ketara pemimpin dan penyokong Pas tidak bersetuju dengan pelantikan MB Perlis yang baharu. 

Pelbagai naratif yang dikemukakan. Namun, Bersatu nampaknya lebih tenang mengendalikan krisis dalam parti PN ini dan akhirnya berjaya menebuk atap kerajaan negeri Perlis. 

Oleh itu, jika pemimpin Pas tidak menghentikan episod ‘rumah siap, pahat berbunyi’ ini maka krisis parti anggota akan jadi lebih teruk lagi. 

Sebenarnya, apa yang Pas rasai sekarang ini berpunca daripada Pas sendiri yang tidak terlebih dahulu membawa isu ini ke meja mesyuarat Majlis Presiden atau Majlis Tertinggi PN sebelum menghentikan keahlian 3 Adunnya. 

Apabila keahlian 3 Adun itu telah tiada dan MB Perlis pula meletak jawatan maka sudah tentu Istana akan melantik MB yang baharu. 

Jadi, sebelum Pas menuding jari kepada Bersatu maka Pas juga perlu bermuhasabah mengenai tindakannya yang mengenepikan mesyuarat PN. 

Padahal, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri itu adalah YB Shahidan Kassim sendiri yang juga menjadi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. 

Sepatutnya hal itu boleh diselaraskan di peringkat Badan Perhubungan PN Negeri. 

Apabila terjadi krisis sebegini YB Shahidan Kassim kelihatan tidak berfungsi sebagai jambatan antara Bersatu dan Pas walaupun dia mempunyai kedudukan di dalam PN Negeri dan Pas Pusat. 

Padahal cadangan untuk melantik YB Shahidan Kasim sebagai Pengerusi PN Perlis itu datangnya daripada Presiden Pas sendiri. 

Malah, sewaktu mengucapkan ucapan tahniah atas pelantikan itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad sendiri menyatakan, “Pelantikan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan PN Perlis adalah langkah strategik menuju kemenangan.”

Apabila cemuhan daripada pemimpin dan penyokong Pas muncul pasca pelantikan MB Perlis baharu ini sebenarnya menimbulkan persoalan yang lebih ketara, di manakah wala’ atau kewalaunan/ketaatan YB Shahidan Kasim kepada Presiden Pas atau parti Pas sendiri. 

Apakah pelantikan MB Perlis yang baharu ini sebenarnya adalah endosmen daripada Pengerusi PN Negeri itu sendiri atau apakah Pengerusi PN itu sudah bermain di dua kolam?

Jika benar sedemikian, maka Pas sepatutnya sudah boleh mengambil tindakan disiplin ke atas YB Shahidan Kasim dan tidak sepatutnya membiarkan ahli-ahli dan penyokong Pas hanya sekadar menjamu nasi yang sudah menjadi bubur!