Takiyuddin mohon maaf buat hantaran fitnah, Mujahid setuju selesai kes saman
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersetuju menamatkan pertikaian saman fittnah yang difailkan terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ia selepas Takiyuddin membuat permohonan maaf kepada Mujahid atas satu hantaran Facebook terhadap bekas menteri agama itu di akaun Facebook Pas Pusat pada Oktober 2022.
Setelah mempertimbangkan semula kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung, kedua-dua pihak-pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar yang perlu diberikan perhatian.
“Sehubungan dengan itu, Takiyuddin selaku SUA Pas tanpa apa-apa pengakuan terhadap apa-apa liabiliti, dengan secara terbuka dan suci hati, memohon maaf kepada Mujahid.
“Selaras dengan itu, Mujahid yang menghargai tindakan murni tersebut bersetuju untuk menarik balik tindakan guaman sivil tanpa kebebasan memfailkan semula, dan tanpa apa-apa perintah berkenaan kos,” menurut kenyataan bersama antara Mujahid dan Takiyuddin.
Sementara itu kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia.