Undur sebagai Ketua Pembangkang juga, Azmin
Susulan pengunduran Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengerusi PN Selangor, beliau telah digesa untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang oleh ADUN Seri Serdang Abbas Azmi yang juga merupakan ketua penerangan Pakatan Harapan Selangor.
“Dengan pengunduran Dato Seri Azmin sebagai Pengerusi PN Selangor tetapi kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor akan membentuk ketempangan dalam struktur politik negeri yang mampu menjurus kepada ketidakstabilan politik pembangkang di Selangor,” kata Abbas dalam satu kenyataan.
“Lebih utama lagi, kedudukan sebagai Ketua Pembangkang yang diletakkan sama taraf dengan anggota pentadbiran negeri serta mempunyai elaun Ketua Pembangkang yang tinggi mencecah RM11,000 bukan hanya sebagai penyemak imbang kepada kerajaan negeri, sebaliknya turut sama berperanan memacu kestabilan dan kelancaran pembangunan negeri.
“Oleh kerana Datuk Seri Azmin selaku Yang Berhormat Hulu Klang telah pun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Selangor seharusnya jawatan Ketua Pembangkang juga harus diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri blok Pembangkang yang lain bersesuaian dengan jawatan dalam parti-parti blok pembangkang di Selangor.”
Azmin turut meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional ekoran daripada tindakan Tan Sri Mahiaddin Yassin melepaskan jawatan pengerusi PN.
BACA JUGA: Azmin Ali pula umum letak jawatan SUA PN