Di Malaysia ini hanya Pas yang amal baiah politik…

OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Di dalam Malaysia ini hanya Pas sahaja yang membuat amalan baiah politik.

 Parti-parti lain tidak mengambil jalan menggunakan baiah sebagai senjata untuk mengancam ahli-ahlinya yang ingkar arahan parti atau melompat parti. 

Parti PKR seumpamanya telah menggunakan kaedah pelanggaran kontrak, sebagaimana yang dilaporkan PKR telah menyaman bekas ahlinya Zuraidah Kamarudin atas sebab dia telah melompat ke parti Bersatu pada ketika itu.

Isu baiah ini menimbulkan perdebatan antara pemimpin Pas dan Dr MAZA, Mufti Perlis. Isunya berkisar mengenai baiah jatuh talak 3 ke atas isteri jika berlaku lompat parti. 

Pas menafikan bahawa mereka masih mengamalkan baiah seumpama itu pada masa sekarang. 

Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Pas telah menerbitkan penafian mengenai kewujudan baiah talak 3 itu. 

Hakikatnya Pas pernah menggunakan baiah talak 3 tersebut dan Pas tidak pernah menarik balik kehalalan penggunaan baiah seperti itu walaupun baiah seperti itu mendatangkan risiko pecah belah kepada rumah tangga.

Isu yang lebih penting adalah sama ada penggunaan baiah politik ini bertepatan dengan ajaran Islam atau ianya sekadar menggunakan amalan agama untuk tujuan politik.

Dalam hal ini, Mufti WP, SS Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil telah menyatakan, 

“Berkaitan asal-usul baiah kepimpinan ini, di zaman Rasulullah SAW dan era Khulafa’ al-Rashidin baiah merupakan akad syar‘i yang berkait secara langsung dengan kepimpinan negara dan pemerintahan Islam, di mana umat Islam menyatakan ketaatan kepada Rasulullah SAW sebagai ketua agama dan negara. Manakala selepas kewafatan Baginda SAW, baiah diberikan kepada para khalifah yang memegang tampuk pemerintahan khilafah. Baiah ketika itu berfungsi sebagai asas kesatuan umat, kestabilan politik dan pelaksanaan syariah. Ia bukan sekadar ikrar sokongan moral atau keahlian organisasi.

Oleh sebab itu, pelanggaran atau pengkhianatan baiah dalam konteks tersebut dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara Islam dan kepentingan umat kerana ia menggugat keamanan, ketaatan umum dan tertib pemerintahan sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan ulama. 

Justeru, baiah pada era awal Islam mempunyai implikasi besar dari sudut siyasah syar‘iyyah dan tidak wajar disamakan dengan baiah jamaah atau pertubuhan moden yang tidak memiliki kuasa atau mandat pemerintahan.

Seterusnya, konsep baiah telah mengalami perkembangan daripada ruang tasawuf yang bersifat rohani kepada ruang organisasi dan perjuangan khususnya dalam gerakan dakwah dan politik Islam, di mana baiah digunakan sebagai simbol komitmen, disiplin dan kesetiaan terhadap kepimpinan serta perjuangan jamaah. 

Pada tahap tertentu, pendekatan ini bertujuan mengukuhkan kesatuan saf, pengorbanan dan istiqamah ahli dalam menghadapi cabaran dakwah dan penindasan.

Namun demikian, peralihan ini turut membawa risiko penyalahgunaan istilah baiah, apabila ia diangkat seolah-olah memiliki kedudukan syar‘i yang setara dengan baiah pemerintah atau kenegaraan, lalu digunakan untuk menuntut ketaatan mutlak tanpa ruang muhasabah, nasihat dan teguran. 

Keadaan ini berpotensi menyalahi prinsip Islam yang menetapkan bahawa ketaatan kepada manusia adalah terikat dengan kebenaran dan keadilan.

Ia boleh mencetuskan kekeliruan akidah dan sikap taasub yang bertentangan dengan maqasid syariah dan prinsip kesederhanaan Islam.

Selain daripada itu, hadis-hadis yang menyebut ancaman mati dalam keadaan jahiliah atau terkeluar daripada jamaah perlu difahami dalam konteks sejarah dan siyasah syar’iyyah, bukan secara literal yang terpisah daripada maksud asalnya. 

Para ulama menjelaskan bahawa istilah jamaah dalam hadis tersebut merujuk kepada kesatuan umat Islam di bawah kepimpinan dan pemerintahan yang sah, iaitu negara atau imamah, bukan organisasi dakwah atau jamaah tertentu yang bersifat keahlian

Oleh itu, bai‘ah yang diamalkan dalam konteks tariqat atau jamaah kontemporari tidak boleh disamakan dengan baiah kenegaraan yang membawa implikasi siyasah dan hukum awam. 

Baiah tersebut pada hakikatnya bersifat janji moral, disiplin tarbawi dan komitmen organisasi, yang bertujuan mengatur hubungan, adab dan tanggungjawab sesama ahli tanpa sebarang implikasi terhadap status iman atau akidah seseorang. 

oleh yang demikian, melanggar atau meninggalkan baiah dalam konteks ini tidak menjadikan seseorang terkeluar daripada islam atau tergolong dalam ancaman hadis kerana iman dan kufur ditentukan oleh akidah dan keyakinan terhadap Allah dan Rasul-nya dan bukan oleh keahlian atau kesetiaan kepada mana-mana jamaah atau struktur organisasi.

Secara kesimpulan, pelanggaran janji atau kegagalan menunaikan komitmen, termasuk dalam konteks baiah organisasi atau ikrar keahlian ditangani oleh syariah melalui pendekatan islah dan tanggungjawab, seperti taubat, kaffarah sumpah atau pampasan yang setimpal.

Berbalik kepada baiah Pas yang diendoskan oleh Majlis Syura Ulama Pas, ia menggunakan lafaz berikut :

1. Bahawa saya ……………………. berbaiah dan bersumpah Wallahi Wabillah Watallahi untuk patuh kepada hukum agama dan rasulnya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam,

2. Bahawa saya berbaiah dan bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi ahli Dewan Negeri/ Dewan Rakyat atau dilantik menjadi Senator, maka saya akan dilaknat oleh Allah, rasul, orang yagn beriman serta sekalian yang melaknat, dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun dewan tersebut adalah haram..

3. Bahawa saya juga berbaiah dan bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi untuk meletakkan jawatan dari menjadi ahli Dewan Negeri/ Dewan Rakyat/ Dewan Negara tersebut apabila saya keluar atau dipecat dari parti.

Jika dilihat dalam konteks asal sekalipun, sumpah dalam baiah ini tidak terpakai ke atas 3 Adun Pas di Perlis yang dihentikan keahlian kerana mereka tidak meninggalkan Pas atau melompat ke parti lain. Mereka hanya dihentikan keahlian. 

Mereka bukan dipecat. Tidak perlu khuatir dan risau kepada sebarang laknat.

Kesimpulan

Baiah Pas ini jika 3 Adun Pas itu beriman dan mempercayai kesahihan baiah ini sekalipun mereka tidak perlu letak jawatan kerana lafaz di perenggan 3 itu hanya menghendaki mereka meletakkan jawatan jika dia keluar atau dipecat. 

Dalam konteks mereka ini, mereka dihentikan keahlian.

Baiah Pas ini adalah baiah politik yang tidak menyentuh soal akidah dan telah lari daripada konsep asal baiah kepada khilafah Islam. 

Namun, oleh kerana baiah ini menggunakan lafaz Al-Jalalah maka ianya boleh diabaikan dengan kaedah taubat, kaffarah sumpah atau pampasan yang setimpal.