Hamzah sedang tunai umrah, kenyataan letak jawatan adalah palsu
Kenyataan yang tular di media sosial kononnya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang adalah palsu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pembangkang melalui mana-mana platform digital, sekali gus menafikan kesahihan dakwaan tersebut.
“Penyebaran kenyataan ini disifatkan sebagai perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencetuskan kekeliruan politik.
“Hamzah ketika ini sedang berada di Mekah bermula 26 Disember hingga 6 Januari 2026 bagi menunaikan ibadah umrah,” kata sumber dari Bersatu, lapor Astro Awani.
Terdahulu, tular satu kenyataan yang kelihatan seakan-akan tulen mendakwa Hamzah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang susulan pengunduran Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Mahiaddin mengumumkan akan melepaskan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Turut sama berbuat demikian adalah beberapa pemimpin Bersatu.
Mereka adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Sahruddin Jamal; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; dan Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin.
BACA JUGA Muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, tiada unsur khianat