Hanya Adun Bersatu dalam Exco Perlis
Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis akan melibatkan hanya ADUN daripada Bersatu, kata Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Keputusan tersebut dibuat walaupun Bersatu dan Pas berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa tiada ADUN Pas di Perlis akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bakal dilantik oleh Menteri Besar.
Beliau yang juga Adun Kuala Perlis berkata, pelantikan Exco akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Pengerusi PN Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri berkenaan berkata, jumlah yang bakal dilantik adalah berdasarkan situasi terkini melibatkan ADUN Titi Tinggi, Sena, Pauh dan Tambun Tulang.
“Kita tidak akan mengecilkan. Kita melihat, mungkin kita akan satukan yang kecil-kecil tu, kita akan gabungkan.
“Ada juga kemungkinan portfolio yang kita akan mansuhkan, letakkan pada satu yang tidak membebankan.”
“Kelmarin, kita janji bahawa kita akan buat pelantikan dalam tempoh dua minggu, dan dalam dua minggu itu akan berlaku.
“Tetapi, sebenarnya kita juga menunggu isyarat. Hari ini, kita sudah jelas menerusi pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin, telah memberi gambaran bahawa kita perlu segerakan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian kepada media di Kompleks Seri Putra, hari ini.
Tambahnya, kemungkinan wujud penggabungan beberapa portfolio yang lebih kecil atau penghapusan portfolio tertentu bagi memastikan struktur pentadbiran lebih efisien.
BACA JUGA Hamzah sedang tunai umrah, kenyataan letak jawatan adalah palsu