Jika Abdul Hadi Pengerusi PN, mampukah menangi PRU16?
Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim membangkitkan persoalan sama ada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi mempunyai pengaruh mencukupi untuk mengemudi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, pelantikan pengerusi baharu akan menentukan sama ada PN mampu terus melangkah ke hadapan atau sebaliknya berundur ke belakang.
“Jika TS Haji Hadi dinamakan sebagai pengerusi PN, adakah pengaruh beliau mencukupi untuk mengemudi PN memenangi PRU16 nanti?
“Atau jika pemimpin Pas lain dalam hieraki lebih rendah dalam parti dinamakan sebagai pengerusi, adakah ketidakbiasaan itu akan memberi keyakinan kepada publik?” soalnya hari ini.
Mengulas prestasi pilihan raya lalu, beliau berkata PN sebenarnya telah mencapai kemuncak sokongan pengundi Melayu dalam PRU15 pada 2022 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 2023.
“Untuk memenangi PRU16 nanti, PN perlu ada strategi untuk memperolehi tambahan undi daripada segmen bukan Melayu pula.
“Isunya jika TS Haji Hadi atau mana-mana pemimpin Pas mengetuai PN, adakah lantikan ini boleh memberi nilai tambah dalam aspek sokongan bukan Melayu?” kata Dr Yusri lagi.
BACA JUGA Hari Wilayah Persekutuan, Thaipusam diwartakan cuti am 2026