Khairuddin tegur Pas, ingatkan Mufti juga berhak bersuara
Seorang bekas pemimpin Pas menegur bekas partinya supaya menjawab kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan hujah dan idea, bukannya mencabar beliau untuk terjun ke politik hanya kerana sedikit teguran kepada Presiden Pas.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO berkata, Dr Maza selama ini banyak memberi nasihat kepada semua ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
Bahkan, Dr Maza telah dilibatkan secara terus oleh Istana dalam menangani krisis Menteri Besar Perlis ini, justeru katanya, beliau adalah orang yang layak untuk mengulas dan memberi pandangan.
“Apabila dalam isu krisis politik Perlis, beliau memberikan pandangan yang berbeza dengan Pas, jawaplah dengan idea juga bukan dengan mencabarnya masuk politik hanya kerana sedikit teguran pada Presiden Pas. Itu bankrap idea namanya.
“Dalam isu teks baiah Pas Kelantan yang tidak lagi diamalkan oleh Pas juga beliau mengkritik dan kritikan beliau sangat berasas pada hukum Syarak. Balaslah hujahan beliau dengan hujah juga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohd Khairuddin berkata, Dr Maza juga pernah mengkritik dan menegur Pas dalam beberapa isu penting sebelum ini, termasuk isu kafir-mengkafir dan pendekatan membincangkan hudud.
“Bukan hanya sekali dia mendukung pendirian politik Pas. Ketika itu beliau tentu dipuji dan ucapan beliau disebarkan di merata-rata oleh ahli. Tapi apabila beliau berbeza, kejiannya boleh tahan juga bercampur dengan makian dan memperlekeh keperibadian,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Terkini Speaker Perlis umum tarik balik pemakluman keperluan PRK tiga DUN