Terkini Speaker Perlis umum tarik balik pemakluman keperluan PRK tiga DUN
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan hari ini mengumumkan beliau menarik balik surat pemakluman mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kekosongan luar jangka di tiga kerusi.
Rus’sele berkata, beliau mendapati majoriti ahli DUN Perlis tidak terjejas dengan tiga kekosongan luar jangka tersebut, sekali gus tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya semula.
“Saya mendapati majoriti ahli dewan negeri perlis tidak terjejas dengan 3 kekosongan luar jangka tersebut. Justeru tiada lagi keperluan untuk diadakan PRK semula.
“Saya Speaker DUN menarik balik pemakluman tentang keperluan PRK semula yang dibuat sebelum ini. Keputusan ini dah dimaklumkan melalui surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Disember 2025.
“Namun kekosongan luar jangka kekal berkuatkuasa seadanya sebagaimana surat saya bertarikh 29 Disember,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Sebelum ini pada 29 Disember, notis pengosongan kerusi telah pun dihantar kepada SPR Perlis membabitkan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping yang mana ketiga-tiga kerusi berkenaan dimenangi Pas.
Notis pengosongan itu bagi memohon pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi memilih semula wakil rakyat di ketiga-tiga kawasan itu.
Sementara itu Rus’sele berkata, keputusan penarikan keperluan mengadakan PRK adalah demi menjunjung titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menitahkan kerajaan Perlis beri tumpuan kepada mentadbir negeri.
BACA JUGA PM tak akan tunduk dengan ugutan, perangi rasuah hingga ke akar