Kapal pengawal pantai China di Zon Maritim Malaysia uji kedaulatan negara
Oleh NAZRI HAMDAN
Isu kapal China Coast Guard (CCG) muncul dekat perairan Sarawak sebenarnya bukan perkara baru.
Cuma kali ini ia jadi perhatian sebab kapal tersebut dikesan berada dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) hampir sebulan.
RMN dan APMM memang sudah biasa dengan situasi macam ini, sebab kawasan Laut China Selatan memang penuh dengan tuntutan bertindih.
Jadi, pendekatan Malaysia setakat ini masih konsisten iaitu pantau rapat, kekal profesional, elak provokasi, tetapi pada masa sama tegas jaga kedaulatan.
Menariknya, kapal CCG 5304 bukan datang sekejap-sekejap. Ia dikesan terapung tidak jauh dari Terumbu Lang Ngindang dan terus dipantau 24 jam melalui Op Raja Laut dan Op Satria.
Ini selari dengan corak “grey zone tactics” yang sering digunakan iaitu tak serang, tak ancam secara terbuka, tapi hadir cukup lama untuk uji reaksi dan ketahanan negara yang terlibat.
Dalam bahasa mudah, ini permainan psikologi dan geopolitik, bukan konflik ketenteraan terus.
Apa yang penting, Malaysia masih pilih laluan diplomasi. Apabila maklumat disahkan, Wisma Putra akan hantar nota bantahan rasmi, sambil kekal berpegang pada UNCLOS 1982 dan rangka kerja ASEAN seperti Code of Conduct.
Pendekatan ini mungkin nampak “senyap”, tapi sebenarnya strategik iaitu elak eskalasi, jaga kestabilan rantau, dan pada masa sama menghantar mesej jelas bahawa perairan kita bukan kawasan bebas masuk sesuka hati.
Ini gaya Malaysia: tenang, berprinsip, tetapi tidak cuai.
BACA JUGA Pi main tepi pantai, sana banyak pasir, kata Pemuda Pas kepada Ramasamy