Bersatu masih kekal bersama PN, Mahiaddin jamin
Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin memberi jaminan bahawa parti pimpinannya itu kekal di dalam Perikatan Nasional meskipun beliau tidak lagi memimpin PN.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden. Walaupun saya tidak lagi memimpin Perikatan Nasional, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya dalam pesanan sempena tahun baru yang dimuatnaik di dalam laman Facebook beliau.
Mahiaddin telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuatkuasa sejak semalam.
Tindakan tersebut menyebabkan banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai tanda keretakan hubungan Pas dan Bersatu memandangkan ia berlaku sejurus selepas krisis politik di Perlis.
Beliau turut menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat untuk mengukuhkan partinya.
“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.
“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.
“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.”
BACA JUGA: Lantik Hamzah sebagai pengerusi PN, jangan gopoh