MHO dedah kes pelaburan kebun buah disyaki tidak wujud, mangsa rugi RM210,800

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai mangsa rugi 210K ditipu Pelaburan Kebun Buah di Pejabat MHO, C-8-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 2hb Januari 2026 (Jumaat)

MHO hari ini mendedahkan satu kes pelaburan kebun buah-buahan yang disyaki tidak wujud, membabitkan kerugian sebanyak RM210,800. Menerusi satu sidang media, Dato’ Hishamuddin Hashim memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan rasmi daripada seorang individu pada sekitar September 2025, yang mengesyaki dirinya telah menjadi mangsa penipuan pelaburan kebun buah-buahan di sebuah daerah di Negeri Melaka. Menurut beliau, mangsa mendakwa telah menyerahkan sejumlah wang dan aset bernilai RM210,800.00 kepada seorang individu sebagai modal pelaburan bagi projek penanaman kebun buah-buahan.

“Berdasarkan aduan, mangsa mula berkenalan dengan seorang lelaki berbangsa Cina pada awal tahun 2025 yang menawarkan peluang pelaburan projek penanaman buah markisa di Melaka. Individu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang kaya serta mempunyai banyak projek besar, sekali gus meyakinkan mangsa,” katanya.

Tambah beliau, pada sekitar Februari 2025, mangsa telah bertemu dengan individu berkenaan bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai projek tersebut. Mangsa kemudiannya bersetuju untuk melabur sebanyak 30 peratus, melibatkan jumlah RM180,000, daripada keseluruhan modal projek yang dicadangkan.

Susulan persetujuan itu, mangsa telah membuat bayaran tunai sebanyak RM147,800, selain menyerahkan sebuah kenderaan dengan anggaran nilai pasaran RM63,000 sebagai baki modal pelaburan. Bagaimanapun, tiada sebarang perjanjian bertulis ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Dato’ Hishamuddin menjelaskan, individu terbabit telah menjanjikan hasil tanaman boleh dituai dalam tempoh enam bulan, namun sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan atau keuntungan. Lebih membimbangkan, individu yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut juga gagal dihubungi dan tidak memberikan sebarang maklum balas.

“Modal pelaburan mangsa dipercayai telah hangus sepenuhnya. Berdasarkan maklumat tidak rasmi yang diterima, individu sama disyaki kerap menjalankan kegiatan penipuan pelaburan seumpama ini untuk meraih keuntungan mudah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, MHO menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan menyeluruh dan segera terhadap kes berkenaan bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa penipuan pelaburan.

MHO turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terperinci sebelum terlibat dalam sebarang pelaburan, khususnya yang tidak disertakan dengan perjanjian bertulis dan jaminan sah.