Tiga bekas ADUN Pas Perlis heret Speaker DUN ke mahkamah
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berdepan tindakan saman pemula apabila tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas negeri itu mencabar keputusannya mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka susulan pemberhentian keahlian parti.
Bekas ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) masing-masing memohon keputusan pengosongan tiga kerusi DUN diwakili adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
Ketiga-tiganya diberhentikan keahlian dalam Pas pada 24 Disember lalu, sekali gus mendorong Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, mengumumkan kerusi DUN yang diwakili mereka perlu dikosongkan.
Menerusi kenyataan media bersama hari ini, mereka menegaskan pengumuman Speaker bertarikh 25 Disember lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.
“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata mereka.
Tiga bekas pemimpin Pas berkenaan berkata, tindakan mereka itu diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.
“Kami menuntut pengisytiharan yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
“Selain itu, kami memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka berkata tindakan saman itu difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
BACA JUGA Kalau bukan Presiden Pas terajui, apa jadi pada PN?