Akmal mahu kesatuan Umno – Pas
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh secara terbuka menyeru kepimpinan partinya menerima Pas sebagai sekutu demi kelangsungan bangsa Melayu.
“Penyatuan harus dimulakan oleh dua parti terbesar orang Melayu. Penyatuan Umno dan PAS, orang Melayu akan kembali kuat kerana kita orang Melayu adalah majoriti di sini.”
“Ini bukan soal saya atau karier politik saya…tetapi ini adalah maruah kita. Jika kita bersatu, Umno dan PAS, saya yakin orang-orang Melayu akan bangkit berdiri teguh bersama kita,” kata Akmal.
Konvensyen Pemuda Umno hari ini bertujuan menentukan sama ada parti itu kekal bekerjasama atau memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, tiada apa yang patut Umno takutkan kerana pernah menjadi pembangkang 22 bulan sewaktu era pemerintahan PH, di bawah Dr Mahathir Mohamad, pada 2018.
Umno tidak pernah meminta-minta. Kita tidak pernah pun mahu jadi kerajaan selepas kekalahan pada PRU yang lalu, tetapi kita patuh pada titah Tuanku.”
“Tapi sekarang masa sudah berubah, jika Umno jadi pembangkang pun, kerajaan masih lagi ada cukup kerusi. Jadi kamu (PH) tadbirlah biar Umno jadi pembangkang,” tegas Akmal lagi.
Beliau tidak mahu fenomena kerajaan tebuk atap tetapi lebih selesa dengan Umno melangkah ke dalam PRU bersama Pas.
“Prinsip saya kekal dari dahulu. Sewaktu PH 1.0 kita sudah kata serah kepada rakyat untuk memilih. Saya tidak akan benarkan kerajaan ‘tebuk atap’ untuk merampas kuasa.”
BACA JUGA: Ini nasihat Hassan Karim untuk Dr Akmal Saleh