Ini nasihat Hassan Karim untuk Dr Akmal Saleh
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim merasakan bahawa pergerakan Pemuda Umno perlu berada di barisan hadapan membersihkan kepimpinan Umno dari gejala rasuah.
“Jika Pemuda Umno muncul di barisan hadapan dalam membersihkan kepimpinan Umno dari gejala rasuah supaya parti Umno yang besar ini kembali bersih seperti zaman kepimpinan awal Umno dahulu maka setengah dari matlamat untuk Umno menjadi kuat telah tercapai.
“Justeru itu adalah amat silap jika Pergerakan Pemuda Umno dalam tempoh pilihanraya umum yang akan sampai setahun dua ini muncul sebagai juara mempertahankan pemimpin Umno yang telah terpalit dan didapati bersalah dalam skandal 1MDB yang menyebabkan negara kita menanggung beban hutang berpuluh billion ringgit yang terpaksa diwarisi ke generasi anak dan cucu kita,” kata tokoh PKR itu dalam satu hantaran Facebook.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh telah menganjurkan konvensyen pada hari ini untuk mendapatkan mandat supaya Umno boleh keluar daripada gabungan parti pemerintah.
Ini kerana Akmal berpendirian bahawa rakan sekutu di dalam kerajaan Madani tidak melakukan yang sewajarnya untuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah memperoleh tambahan hukuman penjara setelah didapati bersalah dalam kes 1MDB.
Perkara kedua yang perlu dibuat oleh Akmal ialah mengusulkan pemilihan presiden Umno sebelum pilihanraya.
“Apa yang Pemuda Umno perlu lakuan di dalam Konvensyennya pada hari ini bukannya untuk tarik diri Umno keluar dari Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi sebaliknya, Pemuda Umno dengan suara kuat dan lantang bagun memutuskan untuk menuntut supaya Umno segera mengadakan Mesyuarat Agung Khasnya untuk melaksanakan pemilihan jawatan Presiden Umno yang adil dan bersih supaya demokrasi dapat dikembalikan kepada Umno dengan segera sebelum pilihanraya.”
BACA JUGA: Mengapa Umno tak dapat bergerak tanpa Najib, menurut Rafizi