LKIM: 100 anak nelayan Pelabuhan Klang terima bantuan RM10,000

Seramai 100 anak nelayan Persatuan Nelayan Kebangsaan Pelabuhan Klang menerima bantuan bernilai RM10,000 menerusi Program Back to School, hasil program tanggungjawab sosial korporat.

Program ini ialah hasil kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, BH Petrol, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem).

Antara bantuan yang disampaikan ialah baucer baju sekolah bernilai RM50 oleh Nekmat di bawah seliaan Yanem.

Sumbangan peralatan persekolahan dalam bentuk beg sekolah dan botol air bernilai RM50 untuk setiap seorang anak nelayan ditaja oleh BH Petrol.

Menurut pengerusi LKIM Faiz Fadzil, program ini selaras dengan peranan LKIM menjaga kebajikan kebajikan nelayan dan membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda nelayan.

“Pelaburan dalam pendidikan anak-anak nelayan merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga nelayan.

“lnisiatif ini bukan sahaja bertujuan membantu daripada aspek kewangan, malah berperanan meningkatkan motivasi dan semangat anak-anak nelayan untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin,” katanya.

Pada masa yang sama, program ini mencerminkan komitmen berterusan LKIM dan rakan strategik dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan komuniti nelayan, selaras dengan usaha meningkatkan taraf hidup dan masa depan generasi nelayan.

Penglibatan rakan strategik seperti BH Petrol, NEKMAT, YANEM dan PNK Pelabuhan Klang mencerminkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, koperasi dan sektor korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kerjasama ini memperkukuh jaringan sokongan kepada komuniti nelayan serta memastikan program dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

BACA JUGA: 100 anak-anak nelayan terima baucar RM13,600 sumbangan LKIM