Sanusi Md Nor tersesat bab politik Islam

ZULQARNAIN LUKMAN

Menteri Besar Kedah, DS Muhammad Sanusi Md Nor telah membuat kenyataan bahawa ‘hanya Islam mampu menjadi penyelamat kepada negara dan dunia daripada belenggu kezaliman serta penindasan yang semakin berleluasa’. ‘

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, tanpa berpandukan Islam menyebabkan sesebuah negara akhirnya dikuasai oleh pihak lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik, termasuk situasi yang berlaku ketika ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Pemimpin yang perintah tetapi tidak berpegang pada Islam, akhirnya mereka dikuasai orang lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik.

“Oleh itu perjuangan untuk ambil alih negara dan menguasai sistem politik semula mesti diteruskan oleh Pas secara bersungguh-sungguh dalam keadaan apa sekalipun,” ujar beliau.

Kenyataan MB Kedah ini adalah contoh salah faham mengenai politik Islam. Menyamakan politik Pas sebagai yang terpaling murni dan suci dan menafikan sumbangan orang lain adalah sebenarnya salah faham atau kesesatan yang besar.

Ini yang disebutkan oleh SS Ustaz Fauwaz Fadzil, Mufti WP di dalam Konvensyen Dakwah Negara 2025 anjuran NUNJI bahawa orang politik telah melakukan kesilapan apabila menggambarkan Malaysia berada dalam keadaan tidak baik padahal Malaysia adalah negara Islam yang terbaik.

Kata SS Mufti, kesilapan yang paling besar adalah kerana kita mendakwa bahawa negara Islam sudah tidak wujud setelah hilangnya sistem khilafah Islamiah. Inilah puncanya kita menyatakan negara seperti Mesir, Jordan dan Arab Saudi sebagai bukan negara Islam. Katanya hal politik Islam ini telah dibincangkan oleh ulama seperti Imam Al-Juwaini. Apa yang berubah hanyalah struktur politik. Struktur negara Islam ini telah berpindah daripada sistem khilafah kepada struktur negara Islam yang bersifat geografi.

Apabila kita menganggap kita bukan sebagai negara Islam maka kita sendiri yang tidak mengiktiraf kita sebagai negara Islam. Sedangkan dalam teks turath (klasik) semua mazhab menyebutkan bahawa hatta jika negara itu telah hilang undang-undang jenayah Islam tetapi masih wujud syiar-syiar Islam pun kita masih boleh dianggap sebagai negara Islam. Jika kita tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam maka kita akan ketinggalan daripada pelbagai sudut ketamadunan kerana kita sibuk berbahas sama ada kita ini negara Islam atau tidak.

Di Malaysia sahaja bank Islam wujud lebih 30 buah, syarikat takaful 14 buah, guru takmir ada 5000 orang, ada lagi sistem KAFA, Mufti ada 14 orang, masjid ada 6,200 buah, surau ada 18,000 buah, azan satu hari dilaungkan 100,000 kali di Malaysia, ada peruntukan Perlembagaan yang membenarkan untuk kita buat Tabung Haji dan beri bantuan kepada maahad tahfiz, tahun lepas ada ibadat qurban bernilai RM12 billion dan zakat ada RM5 bilion. Air Asia pun sudah benarkan pramugari menutup aurat dan bertudung. Jadi mana mungkin ini semua dilaksanakan jika kita bukan negara Islam.

Kefahaman ini perlu diperbetulkan supaya kita tidak merasa perjalanan kita kepada Islam itu terlalu jauh. Negara Islam hakikatnya tidak pernah hilang. Hatta jika kita dijajah sekali pun tetapi syiar Islam masih ada maka masih dianggap ada negara Islam.

Kita perlu membezakan antara beriman dengan syariah dan pelaksanaan syariah seperti kita beriman dengan amalan haji, tetapi kita tidak pergi haji kerana wujud halangan maka kita tidak boleh mengatakan orang itu telah ingkar kepada amalan haji.

Islam adalah untuk semua dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Sebab itu Islam boleh wujud di Korea dan Amerika Syarikat. Kita baca sejarah khilafah Umayyah dan di dalam khilafah itu ada yang tidak sempurna dan wujud ada kelemahannya, ada maksiatnya tetapi mereka mampu mengekalkan kerajaannya. Kita tidak boleh meruntuhkan negara kita. Kita perlu membawa politik rahmah. Adalah merbahaya jika kita kata negara kita ini teruk. Ini membawa kepada isu keselamatan dan keamanan negara.

Jihad yang paling besar mengikut siyasah syar’iyyah sekarang (versi madani dan rahmah ini) adalah untuk membina pembentukan minda ketamadunan. Kita tidak boleh menekankan hal-hal ibadat tanpa kita mengambil berat isu-isu membina tamadun seperti untuk mengangkat isu-isu mengangkat wanita. Beliau sendiri menyatakan mungkin akan melantik Timbalan Mufti wanita. Mungkin satu hari kita akan ada ketua hakim wanita atau Perdana Menteri wanita. Versi rahmah yang kita hendak adalah untuk membela wanita dan tidak menzalimi lelaki.

Kita membaca sirah nabi saw dan kesemua kerangka daulah nabi saw itu boleh dipakai mengikut tempat dan waktu yang sesuai. Contohnya kerangka daulah Makkiyyah mungkin sesuai dalam konteks negara Thailand yang mana kekuatan Islam tidak begitu kuat. Kerangka daulah Raja Najasyi mungkin sesuai di Amerika Syarikat yang mana orang-orang Islam di sana boleh berunding dengan orang tempatan.

Di Malaysia ini kita membina negara berdasarkan kerangka daulah Madinah di peringkat awal iaitu ketika mana Nabi saw sampai di Madinah, Nabi saw berkongsi kuasa dengan yahudi. Konteks ini terpakai di Malaysia kerana kita kena bina kekuatan dalam konteks masyarakat majmuk. Kita bukan hendak bina Malaysia dengan orang Islam sahaja. Manhaj Malaysia menunjukkan contoh begitu baik yang mana wujud keamanan dan kesaksamaan di antara kaum. Rumah ibadat orang Islam bukan setakat wujud malah ada yang dibantu oleh kerajaan.

KESIMPULAN

Malaysia adalah sebuah negara Islam. Pandangan politik Sanusi itu adalah pandangan yang tidak tepat kerana yang berubah hanyalah struktur politik Islam daripada sistem khilafah kepada sistem negara yang mempunyai geografi politik.

Syiar Islam di Malaysia adalah sangat hebat dan sekiranya kita menolak pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam maka ianya boleh membantutkan pembangunan Islam di Malaysia.

Percaya kepada undang-undang jenayah Islam itu adalah satu kewajipan tetapi pelaksanaan sistem Islam itu boleh dilaksanakan mengikut tahapnya. Adalah menjadi satu kerugian sekiranya kita melepaskan peluang untuk melaksanakan Islam mengikut kadar negara kita mampu laksanakan.

Pas pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selama 33 bulan dan sepatutnya peluang tersebut digarap dengan baik. Apa yang dibawa oleh PMX sekarang adalah selari dengan konsep siyasah syar’iyyah yang untuk meningkatkan tamadun Islam menerusi pelbagai inisiatif ekonomi dan kebajikan rakyat.

Perbahasan mengenai negara Islam dan negara bukan Islam adalah perbahasan yang sia-sia kerana apa yang perlu lebih banyak dibuat adalah hiwar siyasi (dialog politik) untuk mencari idea dan titik persamaan dan bukannya jidal siyasi (politik debat) yang untuk jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Politik adalah satu wadah dan bukannya alat untuk menjatuhkan negara.

Kesimpulan terakhir SS Mufti WP bahawa “Malaysia adalah negara Islam yang sangat hebat” adalah satu kesimpulan yang tuntas dan bermanfaat.


ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengerusi KANUN, AMANAH.