Anwar gesa pembebasan Presiden Venezuela, kritik tindakan AS langgar undang-undang antarabangsa
Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Venezuela susulan penculikan pemimpin negara itu dan isterinya dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan tergolong sebagai penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.
“Presiden Maduro dan isterinya mesti dibebaskan tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar.
“Apa pun sebabnya, penyingkiran paksa ketua pemerintah melalui campur tangan luar menetapkan satu preseden berbahaya.
“Ia menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan rangka kerja perundangan yang menjadi tunjang kepada ketertiban antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menekankan bahawa masa depan politik Venezuela perlu ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri, sambil mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan perubahan kepimpinan secara mendadak melalui kekerasan akan membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
Beliau berkata, keadaan itu lebih membimbangkan memandangkan Venezuela ketika ini sudah pun berdepan kesukaran ekonomi berpanjangan serta tekanan sosial yang mendalam.
Malaysia menganggap penghormatan terhadap undang-undang dan kedaulatan antarabangsa sebagai yang paling penting untuk hubungan aman antara negara.
“Penglibatan, dialog dan de-eskalasi yang membina kekal sebagai jalan yang paling dipercayai ke arah hasil yang melindungi orang awam dan membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa kemudaratan berpanjangan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Zambry jawab gesaan Akmal Saleh tarik diri dari Kerajaan Perpaduan