AMANAH kekal sokong PM sampai habis penggal, tolak kerajaan pintu belakang

AMANAH hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir sehingga berakhir penggal ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, Biro Politik yang bermesyuarat petang tadi membuat ketetapan untuk menolak sebarang cubaan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

“AMANAH beranggapan bahawa beberapa pengumuman penting oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini adalah satu langkah positif bagi mengangkat kekuatan baharu Malaysia terutama berkaitan reform institusi dan polisi kebajikan serta strategik ampuh penghukuhan ekonomi bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat yang sejahtera.

“Justeru AMANAH menyeru rakyat Malaysia untuk menilai keupayaan dan komitmen Kerajaan Perpaduan hari ini dan menolak permainan sentimen perkauman yang dicanangkan pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk kepentingan politik semata-mata,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Sementara itu Faiz menyeru semua parti gabungan mengukuhkan perpaduan supaya Kerajaan Perpaduan ini boleh kekal dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang. 

AMANAH juga menyeru agar libat urus bersama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dipertingkatkan supaya polisi dan dasar baik yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan hari ini dapat dirasai oleh rakyat terutama penyokong dan ahli akar umbi. 

“AMANAH percaya kestabilan politik hari ini adalah kunci kepada prestasi baik ekonomi negara seperti mana pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini,” katanya lagi.

BACA JUGA Menuju negara maju melalui had penggal Perdana Menteri