AMANAH sambut baik had dua penggal PM, asing kuasa AG–Pendakwa Raya

AMANAH menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan Rang Undang-Undang bagi mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum sepuluh tahun atau dua penggal.

Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pengumuman terbaharu Perdana Menteri adalah satu langkah penting dalam memperkukuh reformasi institusi negara yang telah lama dituntut rakyat. 

Kata beliau, iamencerminkan iltizam politik kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah asas kepada kebebasan sistem keadilan. 

“Dalam kerangka politik rahmah, langkah ini penting bagi mengelakkan konflik kepentingan, menjamin kebebasan pendakwaan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengendalian kes-kes berprofil tinggi secara adil dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Mujahid berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri pula mencerminkan penegasan kerajaan bahawa kuasa adalah amanah yang bersifat sementara, bukan hak mutlak. 

Beliau melihat, langkah ini berupaya memperkukuh tadbir urus yang sihat, membuka ruang pembaharuan kepimpinan dan memastikan kesinambungan pentadbiran negara yang progresif.

“AMANAH berpandangan reformasi institusi ini wajar disambut dan didukung oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan politik kerana ia adalah kepentingan nasional. 

“Kerajaan sedang melangkah ke hadapan untuk membina Malaysia yang lebih adil, berintegriti dan berperikemanusiaan, selari dengan aspirasi rakyat dan tuntutan zaman,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Menantu Hadi Awang mengaku tak bersalah sertai himpunan haram