Anwar umum 3 reformasi, laksana manifesto PH

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.

Beliau menegaskan bahawa RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

“Semua orang ada had tempohnya… KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.

“Ini juga terpakai kepada jawatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Anwar turut mengumumkan pemisahan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara sebagai undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun berkenaan memaklumkan bahawa RUU Kebebasan Maklumat juga bakal dibentang dan diluluskan pada tahun ini.

Untuk rekod, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, terdapat janji untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Komitmen tersebut adalah sebahagian daripada reformasi institusi yang dicadangkan oleh PH untuk mengelakkan pemusatan kuasa dan menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

BACA JUGA Ini yang berlaku pada PH jika UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan