Dari Noriega ke Maduro: Bila AS menentukan nasib negara
Oleh AYMAN RASHDAN WONG
Maduro tak bersendirian. Sejak Amerika Syarikat (AS) jadi adikuasa dunia pada tahun 1945, ada 10 ketua kerajaan yang digulingkan oleh AS secara langsung:
Mohammad Mosaddegh dari Iran (1953), Jacobo Arbenz dari Guatemala (1954), Patrice Lumumba dari Republik Demokratik Congo (1960), Ngo Dinh Diem dari Vietnam Selatan (1963), Joao Goulart dari Brazil (1964), Salvador Allende dari Chile (1973), Hudson Austin dari Grenada (1983), Manuel Noriega dari Panama (1989), Mullah Omar dari Afghanistan (2001) dan Saddam Hussein dari Iraq (2003).
Mereka digulingkan secara langsung, sama ada melalui serangan ketenteraan atau operasi CIA.
Yang tidak langsung pula, senarainya lagi panjang (termasuk Sukarno dari Indonesia dan Gaddafi dari Libya), di mana AS guna tangan orang tempatan untuk menggulingkan mereka.
Dan dalam banyak-banyak pemimpin yang digulingkan oleh AS, yang paling mirip dengan Maduro ialah Noriega.
Selain dua-dua pemimpin dari rantau Amerika Latin, dua-dua digulingkan oleh presiden Republikan (Noriega digulingkan oleh Bush Tua). Alasan yang dipakai pun sama: penyeludupan dadah.
Yang paling luar biasa, tarikh mereka berdua (Noriega dan Maduro) ditangkap adalah sama: 3 Januari.
Yang ini bukan kebetulan. Rasanya memang Trump mahu tiru dan samakan diri dengan Bush Tua.
Sekatan
Bush Tua ini dianggap antara presiden Republikan yang “function” sedikit dalam sejarah moden.
Dia juga yang mengalahkan Saddam dalam Perang Teluk 1990-1991, perang yang dicetuskan oleh Saddam apabila dia serang Kuwait.
Cuma selepas kalahkan Saddam, Bush Tua tidak terus gulingkan Saddam. Sebab dia sedar Iraq akan jadi huru-hara kalau buat macam itu. Tentera AS berundur, dan sekatan dikenakan ke atas Iraq.
Tapi anak dia, Bush Muda, tak pasal-pasal pergi gulingkan Saddam. Itu yang Iraq huru-hara sampai hari ini dan akhirnya jatuh di bawah pengaruh Iran.
Kenapa Noriega digulingkan?
Sebab Panama itu sangat penting untuk geopolitik AS.
Di situlah terletaknya Terusan Panama, satu-satunya laluan laut untuk AS alihkan aset ekonomi dan ketenteraan dari pantai timur ke pantai barat.
Terusan itu sendiri dibina oleh AS pada 1904-1914. Cara AS buat pun samseng habis.
Asalnya Panama ni wilayah Colombia. Tapi apabila AS sedar kawasan itu sesuai untuk dibina terusan, AS sokong pemberontak Panama untuk merdeka dari Colombia.
Selepas merdeka, Panama jadi macai sejati AS. AS takkan terima mana-mana pemimpin Panama yang cuba lawan AS sebab itu akan menggugat kepentingan teras dia.
Masalahnya, Noriega ni cuba main “double game”. Di luar nampak pro-AS, tetapi di belakang dia deal dengan negara anti-US macam Cuba.
Apabila AS tahu, mereka guna alasan dadah untuk gulingkan Noriega. Nama operasi: Operation Just Cause, maksudnya “alasan yang sah”. Bukan main.
Operasi dilancarkan pada 20 Disember 1989. Lepas dua minggu barulah Noriega ditangkap. Kiranya Trump lagi samseng, beberapa jam saja sudah selesai.
Lepas Noriega digulingkan, AS naikkan presiden yang pro-US. Noriega dibicarakan di mahkamah Florida dan dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun.
Pada 2007, Noriega dibebaskan awal lepas dipenjarakan selama 17 tahun. Namun, tidak lama selepas itu, dia dipenjarakan pula di Panama dan meninggal dunia di sana pada 2017.

Maduro berdepan nasib yang sama.
Hukuman mati mungkin melampau, tapi hukuman penjara berpuluh tahun atau seumur hidup itu realistik.
Paling bernasib baik pun kalau sekutu lama dia (China dan Rusia) berjaya pujuk Trump supaya buang negeri sahaja. Tapi itu akan buat Trump nampak tidak tegas. Jadi, harapan itu pun agak tipis.
Ramai yang hairan kenapa AS tidak dikecam dan dipulaukan macam Rusia selepas serang Ukraine.
Jawapannya senang saja: sebab AS adikuasa.
Negara paling kuat dalam sistem antarabangsa, jadi tak ada siapa boleh buat apa-apa pada dia.
Alasan dadah semua itu sebenarnya untuk “consumption” rakyat dalaman sahaja. Rakyat perlukan alasan sah sebalik tindakan kerajaan mereka.
Di luar AS, AS tidak perlu jelaskan apa-apa kepada negara lain.
Bukan sokong tindakan AS ya, cuma ini hakikat politik antarabangsa.
Keadilan hanya wujud dalam sempadan sesebuah negara. Apabila ada kerajaan yang mampu menguatkuasakan undang-undang, barulah keadilan boleh ditegakkan.
Sebab kerajaan ada polis, ada tentera, semua itu untuk tangkap pesalah dan jatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang.
Namun, di peringkat antarabangsa, tidak wujud badan macam tu.
PBB bukan kerajaan dunia. Sebab dia tak ada polis sendiri, tak ada tentera sendiri.
PBB hanya berfungsi bila kuasa besar sepakat. Kalau tak sepakat, veto memanjang.
ICC, ICJ semua tu usaha untuk wujudkan sistem perundangan antarabangsa. Tapi selagi tak wujud kerajaan dunia, selagi tu undang-undang antarabangsa takkan betul-betul berkesan.
Tegakkan keadilan
Macam mana nak tegakkan keadilan kalau setakat keluarkan waran dan harap negara lain tolong tangkap?
Habis kenapa tidak diwujudkan kerajaan dunia?
Sebab nak buat kerajaan dunia, negara-negara kena serahkan kedaulatan kepada autoriti pusat.
Siapa sanggup? Tak ada sesiapa.
EU eksperimen ke arah tu. Wujudkan badan lebih berkuasa dari negara anggota. Tu pun dah ramai bising. Apatah lagi nak buat di peringkat dunia.
Dan kerajaan dunia pun tak menjamin keadilan. Silap-silap kuasa jatuh ke tangan golongan paling berkuasa juga.
Macam dalam negara sendiri pun, kerajaan sebenarnya dipegang oleh elit.
Jadi, ini asas paling asas untuk faham politik antarabangsa: keadilan tidak wujud dalam politik antarabangsa sebab tidak wujud kerajaan dunia.
Dalam keadaan ini, negara yang lebih kuat boleh bertindak tanpa takut akibat.
Sama juga dengan Rusia dan China. Walaupun Rusia disekat lepas serang Ukraine, adakah Rusia akan diheret ke ICC? Nampaknya tak.
China pun sama. Kalau China serang Taiwan nanti, mungkin diboikot dan disekat. Tapi adakah China akan dihukum oleh PBB atau ICC? Jawapannya: Tidak.
AS pun tidak berani nak serang mereka. Main perang proksi dan sekatan boleh lagi. Itu maksudnya kuasa tidak dimonopoli.
Jadi, inilah logik asas untuk sesiapa yang nak jadi pemimpin.
Nak anti-AS atau anti mana-mana kuasa besar, nak jadi hero, bukan tak boleh. Tapi ada harga yang perlu dibayar, dan ada langkah yang perlu diambil.
Sama ada jadi pro-AS, anti-AS, atau cuba ambil hati dua-dua pihak.
Ada negara macam Korea Utara boleh berlagak sebab dia ada nuklear. Dia tak harapkan Rusia atau China sebab dia sedar, akhirnya kena bergantung pada diri sendiri.
Dan pemimpin yang bijaksana ialah mereka yang mampu memelihara kesejahteraan rakyat dan negara, dalam sistem politik antarabangsa yang memang tak adil dan kejam.
*AYMAN RASHDAN WONG merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta pengarang beberapa buku termasuk siri Dunia Tanpa Tembok dan karya lain yang membicarakan geopolitik dan sejarah global.
BACA JUGA 1ni 12 perkara penting perutusan Tahun Baharu 2026 oleh PM Anwar