KPM fokus persiapan awal persekolahan 2026, kurikulum prasekolah dimulakan lebih awal

FOTO BERITA: Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menegaskan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan murid-murid bersedia menghadapi sesi persekolahan baharu menerusi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan, termasuk Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM. Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, di Place of Golden Horses, Jalan Kuda Emas, Mines Wellness City. Serdang, Selangor. 4hb Januari 2026 (Ahad)

Menurut YB Fadhlina, program anjuran Parlimen Bandar Tun Razak itu sangat bermakna kerana membantu anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan dalam tempoh seminggu lagi, sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan. “Program ini memberi manfaat yang sangat besar kepada anak-anak dan ibu bapa. Ia antara inisiatif yang benar-benar membantu persiapan persekolahan dan mencerminkan keprihatinan semua pihak terhadap pendidikan,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta penghargaan atas sokongan padu pelbagai pihak termasuk Pejabat Perdana Menteri dan Yayasan ERM, yang disifatkannya sebagai sebuah yayasan luar biasa dalam membantu kelangsungan pendidikan anak-anak melalui bantuan persekolahan. Menariknya, beliau memaklumkan pengasas ERM dilaporkan baru berusia 12 tahun, sekali gus menjadi inspirasi bahawa usaha kebajikan dan pendidikan boleh digerakkan sejak usia muda. Dalam pada itu, Datuk Azman Abidin memaklumkan seramai 800 penerima menerima bantuan pada hari ini sahaja, manakala secara keseluruhan 5,000 penerima akan mendapat manfaat bantuan persekolahan bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam pada itu, Datuk Azman Abidin memaklumkan seramai 800 penerima menerima bantuan pada hari ini sahaja, manakala secara keseluruhan 5,000 penerima akan mendapat manfaat bantuan persekolahan bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Mengulas hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tahun 2026, YB Fadhlina berkata tahun ini amat signifikan berikutan beberapa perubahan penting, antaranya pengembalian sesi persekolahan ke bulan Januari serta pelaksanaan awal kurikulum prasekolah baharu yang sepatutnya bermula pada 2027.

“Tumpuan KPM ketika ini adalah memastikan pelaksanaan kurikulum prasekolah berjalan lancar, selain pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu pada Januari ini. Minggu pertama persekolahan sangat penting dan semua persiapan menjurus kepada kelancaran awal sesi persekolahan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, program seumpama ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada anak yang tercicir daripada pendidikan serta membantu ibu bapa membuat persediaan terbaik untuk masa depan anak-anak mereka.
