Lagi tular pemilik kereta asing isi petrol RON95

Tular di media sosial memaparkan pemilik kereta bernombor pendaftaran Singapura dikesan selamba mengisi petrol RON95 di stesen minyak Petron.

Perakam video tersebut kedengaran berulang-kali melarang pasangan berkenaan meneruskan isian bahan api bersubsidi itu.

Menerusi video berdurasi satu minit 29 saat itu, individu lelaki kelihatan tidak tahu apa-apa manakala si wanita mendakwa dirinya seorang warganegara Malaysia.

Sebelum ini, tersebar video memaparkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikesan menutup dua huruf pada nombor plat keretanya.

Polis kemudian mengesahkan individu berkenaan yang kini berada di Singapura merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) republik itu.

Sementara itu, satu tindakan kes telah diambil ke atas pengusaha stesen minyak di Kulai, Johor kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor memaklumkan, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

BACA JUGA Ini yang berlaku pada PH jika UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan