‘Likes’ bukan gambaran sokongan sebenar, bahaya hidup dalam ‘gelembung’

Jumlah tanda suka (likes) di media sosial tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kuasa sebenar untuk mengawal naratif, kata penganalisis, Najib Bakar.

Menurutnya, ramai merasakan mereka sebagai influencer atau content creator lantaran terbuai dengan capaian 1,000 hingga 10,000 likes tetapi sebenarnya terperangkap dalam ‘bubble’ sendiri yang tidak mewakili pun pandangan majoriti masyarakat.

“Hakikatnya, kepercayaan itu wujud kerana kita hidup dalam gelembung sendiri dan menganggap komen serta reaksi di hantaran media sosial mewakili suara majoriti manusia, sedangkan ia tidak pun,” katanya.

Najib menegaskan, fenomena tersebut dapat dilihat dengan jelas menerusi gerakan Buy Muslim First (BMF) yang suatu ketika dahulu menguasai garis masa media sosial dengan puluhan ribu tanda suka dan perkongsian.

“Isyarat palsu inilah yang mendorong segelintir usahawan membuat keputusan besar, termasuk membelanjakan jutaan ringgit untuk perniagaan yang hanya menyasarkan satu kaum,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada beberapa contoh projek perniagaan yang dikaitkan dengan sentimen tersebut seperti Digital Mall MARA, Malakat Mall dan Darsa Fried Chicken, yang akhirnya berdepan pelbagai cabaran.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa sejarah akan terus berulang sekiranya pengajaran tidak diambil daripada kesilapan lalu.

“Seperti kata orang Barat, insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results,” katanya.

Dalam masa sama, Najib berkata, dirinya sendiri tidak pernah berasa teruja atau berbangga apabila sesuatu hantaran disifatkan sebagai ‘viral’, apatah lagi menganggap diri sebagai terkenal.

“Saya sedar semua itu hanyalah bubble kecil saya sendiri, bukan gambaran sebenar dunia luar,” jelasnya lagi.

BACA JUGA Ini yang berlaku pada PH jika UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan