Menuju negara maju melalui had penggal Perdana Menteri
OLEH A. ZAHID
Pengumuman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan membentangkan rang undang undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal menandakan satu anjakan besar dalam landskap reformasi politik negara.
Selepas ini, sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri tidak lagi boleh duduk terlalu lama sehingga “melekat” atas kerusi kuasa tanpa had masa yang jelas.
Cadangan ini membawa mesej bahawa kuasa bukan hak mutlak individu tetapi amanah sementara yang tertakluk kepada sempadan undang undang dan prinsip demokrasi.
Ia selari dengan hujah Anwar sendiri bahawa jawatan tertinggi negara tidak wajar menjadi milik peribadi atau dipegang tanpa tarikh luput yang munasabah.
Dari sudut reformasi institusi, had penggal Perdana Menteri merupakan langkah yang signifikan kerana ia meletakkan kawalan awal terhadap penumpuan kuasa dalam tangan seorang tokoh.
Pemimpin diberi masa yang mencukupi untuk melaksanakan dasar dan visi negara, namun sistem pada masa sama telah “dikunci” supaya tidak wujud budaya kebergantungan melampau terhadap satu figura sahaja.
Jika dibandingkan dengan negara maju, pendekatan ini bukan sesuatu yang luar biasa atau radikal.
Di Amerika Syarikat, Presiden hanya boleh berkhidmat maksimum dua penggal, manakala di Perancis had dua penggal lima tahun menjadikan 10 tahun sebagai siling kuasa yang jelas.
Walaupun United Kingdom dan Jepun tidak menetapkan had penggal secara perlembagaan, realiti politik dan tekanan dalaman parti secara praktikal mengehadkan tempoh seseorang Perdana Menteri.
Corak ini menunjukkan bahawa negara maju secara sedar atau tidak memastikan kuasa tertinggi sentiasa beredar dan tidak berakar terlalu lama pada individu yang sama.
Manfaat dasar had penggal ini bukan sekadar simbolik tetapi bersifat struktur kerana ia mengurangkan risiko salah guna kuasa, melemahkan politik kronisme dan memaksa perancangan peralihan kepimpinan yang lebih teratur.
Negara menjadi lebih stabil apabila pertukaran kuasa dianggap rutin demokrasi, bukan krisis politik yang menggoncang sistem.
Dalam pakej reformasi yang sama, kerajaan turut bercadang membentangkan Akta Kebebasan Maklumat serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dua agenda besar yang lama dibincangkan tetapi kerap tertangguh.
Jika digerakkan serentak, reformasi ini akan mengukuhkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pengasingan kuasa dalam pentadbiran negara.
Namun hakikatnya, semua reformasi ini tidak akan berlaku secara automatik kerana ia memerlukan sokongan lintas parti dan pindaan perlembagaan yang mencabar dari sudut politik.
Bola kini berada di Parlimen dan sama ada langkah ini menjadi sejarah besar negara atau sekadar janji politik bergantung sepenuhnya kepada keberanian ahli politik sendiri untuk mengehadkan kuasa yang mereka pegang.
BACA JUGA Pemuda AMANAH Negeri Sembilan selar Akmal Saleh angkuh, pentingkan diri