Pemuda AMANAH Negeri Sembilan selar Akmal Saleh angkuh, pentingkan diri

Pemuda AMANAH Negeri Sembilan menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang disifatkan sebagai angkuh dan pentingkan diri sendiri.

Ia berikutan kenyataan Akmal yang meminta menteri-menteri di Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen meletakkan jawatan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Exco pemudanya, Umar Mokhtar Abdullah berkata, Akmal sepatutnya lebih matang dan rasional kerana semua menteri dan Ahli Parlimen mempunyai peranan besar dalam membentuk dan meminda dasar persekutuan negara.

Beliau mempersoal, apa akan terjadi kepada kestabilan negara ini sekiranya pucuk pimpinan UMNO mengikut sahaja kehendak Akmal.

“Tidakkah Akmal belajar dari masa yang lepas? Percayalah, pada PRN Melaka dan Johor yang akan datang tidak lama lagi ini, UMNO dan Pas akan bertegang leher dan bertikam lidah untuk menentukan kerusi bertanding kerana kedua-dua gabungan bertanding merebut pengundi yang sama.

“Sehingga hari ini, terdapat beberapa pemuda UMNO yang dilihat tidak bersetuju dan membidas kehendak Akmal. Antaranya adalah Wan Mahusin Wan Zain, Pemuda UMNO Jeli yang mempersoalkan gesaan Akmal.

“Akmal seharusnya meminta tunjuk ajar dan belajar dari Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini seperti Khairy Jamaluddin atau Datuk Dr Asyraf Wajdi yang dikira mempunyai “selling point” yang lebih baik membawa gagasan pemuda UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan Ahli Parlimen Merlimau itu untuk tidak mengikut perasaan dalam berbicara.

BACA JUGA Reformasi diumum PM dapat elak monopoli kuasa dalam jawatan