Reformasi diumum PM dapat elak monopoli kuasa dalam jawatan

Reformasi yang sedang rancak dilakukan kerajaan MADANI hari ini disifatkan bukan sahaja menunaikan janji manifesto, bahkan mampu meningkatkan tahap ketelusan, tanggungjawab dan integriti sistem pentadbiran negara.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming berkata, langkah reformasi diumumkan Perdana Menteri hari ini seperti mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mampu mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam institusi negara

Ia juga dapat mengelakkan penumpuan atau monopoli kuasa dalam jawatan-jawatan utama.

Beliau berkata, pengumuman sempena Amanat Perdana Menteri Tahun 2026 ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan-kejayaan terdahulu Kerajaan MADANI sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran yang antaranya termasuklah;

1) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 – Memberi autonomi kepada Parlimen untuk mengurus tadbir dan pentadbirannya sendiri, sekaligus memperkasakan doktrin pengasingan kuasa. 

2) Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 – Meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan karenah birokrasi sekurang-kurangnya 25% dalam tempoh 3 tahun, serta memperkukuh akauntabiliti dalam tadbir urus.

3) Akta Perolehan Kerajaan 2025 – Mengukuhkan ketelusan, integriti dan kecekapan dalam proses perolehan awam bagi memastikan dana awam digunakan secara berkesan demi manfaat rakyat.

4) Pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing sekaligus mengangkat martabat wanita dan hak kesaksamaan antara jantina. 

Pada masa sama, Kerajaan MADANI berhasrat untuk memperkukuh kepercayaan awam serta prinsip ketelusan melalui pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026 dengan memberikan akses yang lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan.

Nga berkata, akta ini dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan akses kepada maklumat yang tepat dan relevan, sekali gus melahirkan masyarakat Madani yang mampu membuat keputusan penting dan berinformasi dalam kehidupan seharian.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan agenda reformasi institusi ini demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, selaras dengan kepentingan rakyat serta demi masa depan negara.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia terus menuju ke arah kecemerlangan serta disanjung tinggi di pentas dunia,” katanya.

BACA JUGA AMANAH sambut baik had dua penggal PM, asing kuasa AG–Pendakwa Raya