Sabah negeri pertama terima jemputan rasmi SUKMA Selangor, Ogos 2026 jadi tumpuan

FOTO BEROTA: Sabah menjadi negeri pertama menerima kunjungan hormat rasmi Delegasi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 bersempena penyampaian jemputan rasmi penganjuran temasya sukan kebangsaan dwitahunan itu yang dijadual berlangsung di Selangor dari 14 hingga 25 Ogos 2026. (Gambar: Pejabat EXCO)

Delegasi diketuai oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor 2026, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat SUKMA Selangor, Dato’ Mohd Yazid Sairi serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Encik Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi Selangor mengadakan pertemuan dengan YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kementerian serta Datuk Dr Anil Sandhu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Pada pertemuan itu, YB Mohd Najwan menyerahkan surat jemputan rasmi serta surat tanda terima kasih sebagai pengesahan penyertaan kontinjen Sabah dalam SUKMA XXII Selangor 2026. Beliau turut menyampaikan taklimat ringkas berhubung perkembangan persiapan Selangor sebagai tuan rumah.

Menurut YB Mohd Najwan, kunjungan hormat ini merupakan sebahagian daripada tradisi dan proses formalisasi setiap penganjuran SUKMA, selain bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama antara negeri-negeri yang akan bertanding.

“Kami berharap kerjasama erat antara Selangor dan Sabah dapat terus diperkukuh, khususnya dalam pembangunan atlet, belia serta kemajuan sukan secara menyeluruh,” katanya.
