Sah terbukti menghasut semasa PRK, Adun Kijal kena denda RM2,000
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyebut perkataan menghasut.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu mendakwa institusi kehakiman dikawal kerajaan ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, pada 2023.
Hakim, Norma Ismail menjatuhi hukuman itu selepas peguam yang mewakili pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan Razali, 59, dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham dalam prosiding mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara.
Namun, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara.
“Pemenjaraan akan menyebabkan dia hilang kerusi sekali gus menyebabkan PRK terpaksa dijalankan.
“Ini akan merugikan banyak pihak termasuk perbelanjaan kerajaan,” kata Awang.
Pada 24 November 2023, Razali mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut iaitu menyentuh keputusan institusi kehakiman serta memfitnah badan kerajaan.
Kesalahan Exco kerajaan Terengganu itu didakwa dilakukan di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara jam 9.30 hingga 11.30 malam, 10 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948, yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA Ini yang berlaku pada PH jika UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan